Sekinchan, 6/3/2025

Satu kejadian puting beliung telah melanda Sekinchan pagi ini sekitar jam 7:30 pagi ketika hujan lebat, mengakibatkan kerosakan teruk kepada rumah penduduk serta beberapa premis perniagaan.

Video kejadian yang kini tular di media sosial menunjukkan puting beliung itu merosakkan rumah-rumah berhampiran sawah padi, dengan atap-atap kediaman diterbangkan lebih 50 meter ke udara. Selain kediaman, bencana ini turut memusnahkan deretan kedai, rumah penginapan kampung, serta bengkel jentera penanaman padi.

Dalam satu rakaman lain yang dikongsi di Facebook, beberapa kenderaan dilihat berhenti ketika angin kencang membadai kawasan tersebut. Puting beliung itu kemudian bergerak ke arah sawah padi sebelum lenyap dari pandangan.

Kerajaan Negeri memandang serius kejadian ini dan akan mengambil langkah segera untuk membantu mangsa yang terjejas. Bantuan kecemasan serta penilaian kerosakan sedang dijalankan bagi memastikan penduduk yang terkesan mendapat sokongan yang diperlukan.

Kami menggesa orang ramai untuk sentiasa berwaspada dalam menghadapi perubahan cuaca yang tidak menentu serta mendapatkan maklumat rasmi daripada pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.

#Prezcom