
Ipoh, 6/3/2025
IPOH, 6 Mac – Kerajaan Negeri Perak dengan sukacitanya mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM1,500 kepada semua penjawat awam di negeri itu sebagai tanda penghargaan atas dedikasi dan komitmen mereka dalam menjalankan tugas.
Seramai 13,582 penjawat awam akan menerima manfaat daripada bantuan ini, termasuk Orang Besar Jajahan, Keuta-Ketua Kampung, serta kakitangan di bawah kontrak MySTEP. Inisiatif ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM10 juta dan akan mula diagihkan kepada penerima bermula 24 Mac 2024.
Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, dalam ucapan beliau semasa Majlis Berbuka Puasa bersama Penjawat Awam Perak di Laman Seri Ridzuan, menyatakan penghargaan kepada semua penjawat awam yang telah berusaha meningkatkan pendapatan negeri, terutamanya Pejabat Tanah dan Galian serta Pejabat Daerah.
“Kami berterima kasih kepada pegawai kewangan negeri dan pasukan mereka atas pengurusan kewangan yang bijak. Setelah berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, kita bersetuju untuk memberikan jumlah yang sewajarnya, iaitu sebanyak RM1,500 kepada setiap penjawat awam,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, YB Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, YB Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, serta beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
Kerajaan Negeri Perak sentiasa komited dalam menjaga kebajikan penjawat awam yang menjadi tunjang utama dalam memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar dan berkesan. Diharapkan bantuan khas ini dapat memberikan sedikit kegembiraan kepada mereka dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tersayang.
Untuk rekod, Perak memberikan Bantuan Khas Kewangan Raya (BKK RAYA) pada 2024 sebanyak RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri dan ketua kampung. Pemberian itu turut melibatkan guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan serta pekerja sambilan harian.
#Prezcom