RM170 Juta dan Jongkong Emas Tulen Bernilai Hampir RM 7 Juta Di Jumpai di “Safehouse” Ismail Sabri

Kuala Lumpur, 3/3/2025.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan satu kenyataan media berkenaan siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob.

Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara. Siasatan ini dijalankan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Sehubungan dengan itu, bekas Perdana Menteri telah diarahkan untuk membuat pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 pada 11 Disember 2024. Pengisytiharan harta tersebut telah dibuat secara rasmi pada 10 Februari 2025.

Berdasarkan maklumat baharu dan hasil risikan, SPRM telah menahan empat pegawai kanan yang berkhidmat di bawah bekas Perdana Menteri tersebut. Susulan daripada siasatan lanjut terhadap keempat-empat individu berkenaan, SPRM telah menjalankan pemeriksaan di kediaman serta tiga premis lain yang dipercayai sebagai “safehouse”.

Hasil operasi penggeledahan di lokasi-lokasi tersebut, SPRM telah menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa (Baht, Riyal, Pound Sterling (BP), Won, Euro, Swiss Franc, dan Yuan) serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

Untuk makluman, Dato’ Sri Ismail Sabri telah hadir ke pejabat SPRM untuk memberikan keterangan pada 19 Februari 2025. SPRM tidak menolak kemungkinan bahawa beliau akan dipanggil semula bagi membantu siasatan selanjutnya.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM telah mengenal pasti hampir 10 saksi yang akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.

SPRM ingin menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara bebas, profesional, dan mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa. SPRM komited untuk memastikan bahawa sebarang bentuk salah laku berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram ditangani dengan tegas demi kepentingan negara.

Sumber: Sujuhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

#Prezcom