Starbucks Berhentikan 1,100 Pekerja Pertengahan Mac.

Isambul, 1/3/2025

Starbucks Berhentikan 1,100 Pekerja Pertengahan Mac.

NEW YORK: Starbucks mengumumkan langkah penstrukturan semula dengan memberhentikan lebih 1,000 pekerja korporat serta mengurangkan beberapa pilihan minuman di dalam menu, dalam usaha memperbaiki prestasi jualan yang semakin merosot.

Menurut kenyataan rasmi syarikat pada Isnin lalu, Starbucks akan menyingkirkan beberapa minuman yang kurang popular, termasuk beberapa varian Frappuccino, Royal English Breakfast Latte dan White Hot Chocolate. Langkah ini diambil untuk menyederhanakan operasi serta meningkatkan kecekapan barista.

“Minuman yang dikeluarkan adalah yang jarang dibeli pelanggan, sukar disediakan atau mempunyai persamaan dengan pilihan lain dalam menu kami,” jelas pihak Starbucks dalam kenyataan tersebut.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha syarikat mengurangkan 30% daripada menu sedia ada. Sebelum ini, Starbucks telah menghentikan penjualan minuman tenaga ais dan kopi dengan minyak zaitun. Trend ini selari dengan tindakan beberapa rangkaian makanan dan minuman lain yang menumpukan kepada produk paling menguntungkan sambil mengawal kos operasi.

Dalam perkembangan yang sama, Starbucks turut mengumumkan pemberhentian kira-kira 1,100 pekerja korporat sebagai sebahagian daripada penyusunan semula tenaga kerja. Pemberhentian tersebuat mewakili kira-kira 7% daripada pekerjanya secara global. Selain itu, beberapa ratus jawatan kosong yang belum diisi akan dimansuhkan. Sehingga kini Starbucks mempunyai kira-kira 361,000 orang dan di Malaysia Starbucks mempunyai seramai lebih 5,000 pekerja dibawah 411 cawangan Starbucks. Bagi kakitangan di peringkat naib presiden dan ke atas, mereka diwajibkan hadir ke pejabat di Seattle atau Toronto sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

Keputusan radikal ini dibuat di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif baharu, Brian Niccol, yang menyertai Starbucks dari Chipotle pada Ogos 2024. Niccol yang lebih dikenali sebagai ” Mr.Fix-It” adalah CEO keempat dalam tempoh dua tahun, Niccol berusaha membawa perubahan besar dengan menekankan pengalaman pelanggan di kedai berbanding pemprosesan pesanan secara digital yang terlalu dominan.

“Kami melihat terlalu banyak penekanan diberikan kepada pesanan mudah alih sehingga menghilangkan roh sebenar Starbucks sebagai sebuah kafe komuniti,” ujar Niccol dalam satu temu bual baru-baru ini.

Beliau bercadang untuk mengembalikan pengalaman kedai kopi tradisional yang lebih selesa, di mana pelanggan boleh duduk dan menikmati minuman mereka, berbanding sekadar mengambil pesanan untuk dibawa pulang. Selain itu, Niccol juga memperkenalkan semula beberapa amalan lama Starbucks seperti barista melukis pada cawan serta stesen layan diri untuk susu dan gula bagi meningkatkan interaksi pelanggan.

Sumber:BERNAMA

#Prezcom