
Laporan Ketua Audit Negara-Projek Kajian Universiti Penyelidikan Kurang Memuaskan
Kuala Lumpur, 28/2/2025
Menurut laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibawah tajuk ‘Pengurusan Dana Penyelidikan Fundamental’ yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat pada hari isnin 24 Februari 2025 (Isnin) mendapati lebih 1,000 projek kajian university di lima institusi pengajian terkemuka Malaysia gagal mencapai sasaran dan mencatatkan status ‘kurang memuaskan’ tetapi dalam masa yang sama menelan perbelanjaan yang tinggi sehingga mencecah RM148.04 juta.
Dana Penyelidikan Fundamental (DPF) merupakan dana peruntukan tertinggi yang disalurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kepada universiti tempatan. DPF terdiri daripada empat skim geran, iaitu Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Skim Geran Penyelidikan Transdisiplinari (TRGS), Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS). Objektif DPF ialah untuk melonjakkan kecemerlangan penyelidikan di Malaysia untuk penjanaan teori, konsep dan idea baharu, berpotensi diterjemah kepada penyelidikan
translasional yang memberi manfaat kepada masyarakat, akademia, industri, negara dan alam sekitar. Tempoh penyelidikan projek DPF bergantung kepada jenis skim geran, iaitu antara sembilan bulan hingga lima tahun. Tempoh pelanjutan yang dibenarkan adalah maksimum enam bulan sahaja.
Pada tahun 2006, Jemaah Menteri meluluskan pengiktirafan empat Universiti Penyelidikan [Research University (RU)], iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Pada tahun 2010, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut diiktiraf sebagai RU menjadikan jumlah keseluruhan RU adalah lima universiti. Misi RU adalah sebagai pemacu pembangunan negara dengan menyediakan platform untuk idea, penyelidikan, inovasi, kreativiti, penciptaan kekayaan, dan peningkatan kualiti hidup.
Menurut laporan yang dikeluarkan menunjukkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendahului senarai dengan jumlah tertinggi projek yang tidak memenuhi jangkaan. Universiti itu juga mencatatkan bilangan projek ‘bermasalah’ tertinggi, dengan 151 projek membelanjakan RM23.69 juta tanpa hasil yang memuaskan.
Bagi mengatasi isu ini, Ketua Audit Negara mengesyorkan agar Kementerian Pendidikan Tinggi dan pihak universiti mempertingkat pemantauan serta kawalan ke atas projek penyelidikan bagi memastikan selari dengan matlamat asal serta mencapai impak yang diharapkan.
Selain UKM, empat lagi universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut menerima geran penyelidikan berjumlah RM285.44 juta bagi meningkatkan daya inovasi serta menyumbang kepada pembangunan ilmu baharu.
Setakat 31 Disember 2023, hanya 236 (11.3%) projek bernilai RM37.74 juta daripada 2,077 projek yang dibiayai menunjukkan kemajuan, manakala 571 (27.5%) projek yang bernilai RM77.97 juta dikategorikan sebagai memuaskan. Selebihnya, projek yang mengalami kelewatan atau masalah pelaksanaan memerlukan pemantauan rapi, sementara projek yang gagal sepenuhnya berdepan risiko dihentikan selepas menerima dua amaran.
Dalam pecahan mengikut institusi, UTM mencatatkan 263 projek yang tidak memuaskan, diikuti USM dengan 261 projek, UM dengan 145 projek, dan UPM dengan 111 projek.
Ketua Audit Negara turut menegaskan perlunya penilaian lebih ketat terhadap permohonan projek penyelidikan sebelum kelulusan diberikan bagi mengelakkan pembaziran sumber dan projek terbengkalai.
Selain itu, kementerian juga disaran memperkenalkan garis panduan yang lebih jelas mengenai peruntukan yang tidak digunakan selepas sesuatu projek selesai, bagi memastikan dana dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak terbazir.
Jika universiti penyelidikanpun menunjukkan kelemahan yang ketara didalam menguruskan projek inovasi mereka bagaimana la dengan universiti-universiti lain. Kegagalan ini bukan sahaja menjejaskan reputasi nama universiti penyelidikan itu sendiri malah merugikan dana yang diperuntukan.
Sumber: https://lkan.audit.gov.my/laporan/manage/2332
#Prezcom