Suruhanjaya Persaingan Malaysia

Kuala Lumpur, 28/2/2028

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mengenakan denda berjumlah RM92.87 juta terhadap lapan syarikat yang didapati bersalah kerana terlibat dalam amalan kartel bidaan bagi projek kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail, menyatakan bahawa siasatan mendalam mendapati syarikat-syarikat tersebut melanggar peruntukan Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 dengan memanipulasi tiga tender kerajaan bernilai sekitar RM474 juta. Tender yang terlibat adalah di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada tahun 2019.

Antara projek utama yang menjadi sasaran kartel tipuan bida termasuk membabitkan:

Iskandar dalam sidang medianya juga memberitahu, “MyCC telah mengenakan penalti terhadap syarikat Dutamesra Bina Sdn Bhd, IDX Multi Resources Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Menang Idaman Sdn Bhd, Meranti Budiman Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd, NYL Corporation Sdn Bhd, dan Kiara Kilat Sdn Bhd kerana penglibatan mereka dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang.”

Menurutnya, berdasarkan kuasa yang diperuntukkan oleh Akta Persaingan 2010, MyCC boleh mengenakan denda sehingga 10% daripada jumlah pendapatan tahunan syarikat terbabit. “Penentuan jumlah denda mengambil kira faktor pemberatan dan mitigasi, dan syarikat yang terlibat diberi tempoh 30 hari untuk melunaskan pembayaran atau mengemukakan rayuan kepada Tribunal Rayuan Persaingan,” katanya lagi.

Siasatan MyCC bermula selepas menerima aduan mengenai kemungkinan wujudnya manipulasi bidaan dalam dua projek berkenaan. Hasil siasatan lanjut mendedahkan bahawa modus operandi yang sama turut digunakan dalam projek RTB Sungai Buloh.

MyCC mendapati bahawa Mangkubumi memainkan peranan utama dalam menyelaraskan aktiviti kartel ini, manakala Pintas Utama bertindak sebagai pusat pengurusan operasi. Bukti yang diperoleh dalam serbuan oleh MyCC menunjukkan bahawa perancangan bidaan, perbincangan sulit, serta penyediaan dokumen tender dijalankan di pejabat Pintas Utama. Setelah tender diperoleh, IDX Multi Resources dan Menang Idaman menyerahkan projek mereka kepada Mangkubumi, yang seterusnya melantik syarikat lain, YCH, sebagai kontraktor utama. Sementara itu, bagi projek RTB Sungai Buloh, IDX Multi Resources terus memberikan kontrak kepada YCH.

“Amalan kartel bidaan bukan sahaja menjejaskan integriti proses perolehan, malah meningkatkan kos projek yang akhirnya memberi kesan negatif kepada kerajaan dan rakyat,” tegas Iskandar.

Susulan daripada pendedahan ini, MyCC kini sedang menjalankan siasatan ke atas 13 lagi kartel bidaan melibatkan 561 syarikat dengan nilai tender mencecah RM2.37 bilion.

MyCC memberi amaran bahawa pihaknya akan terus memperketat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana entiti yang cuba menguasai pasaran melalui taktik yang tidak sah, bagi memastikan persaingan yang adil dalam sektor perolehan awam.

Sumber: BERNAMA

#Prezcom