
Kuala Lumpur, 25/2/2025
Kerajaan MADANI komited untuk meningkatkan tindakan pemantauan proaktif oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta memperkukuhkan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan dalam talian. Langkah ini bertujuan untuk memastikan bahawa iklan bahan lucah, terutamanya di platform media sosial, dapat dikesan dan dihapuskan dengan segera.
Menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali di Dewan Rakyat pagi tadi, Menteri Komunikasi, YB Fami Fadzil memaklumkan bahawa sebanyak 3,670 laman web yang mengandungi bahan lucah telah dikenakan tindakan sekatan dari tahun 2022 hingga 15 Februari 2025. Dalam tempoh yang sama, sebanyak 1,993 kandungan media sosial yang berunsur lucah telah diturunkan oleh penyedia platform media sosial, atas permohonan MCMC, berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Sehubungan itu, Kementerian Kumunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mewajibkan setiap penyedia perkhidmatan media sosial dan aplikasi pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini untuk memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588 bermula 1 Januari 2025.
Langkah ini bertujuan untuk memastikan penyedia platform mematuhi kewajipan mereka di bawah Akta 588, mengamalkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik), dan meningkatkan akauntabiliti terhadap kandungan serta interaksi dalam talian yang diberikan kepada pengguna.
#Prezcom