
Kuala Lumpur, 23 Jan 2025, 9.00 malam – SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin memaklumkan bahawa kerjasama erat antara SPRM bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) telah berjaya memulihkan wang sebanyak USD20 juta (bersamaan lebih RM90 juta) berhubung dana 1MDB yang berkaitan projek tenaga solar di Malaysia.
Wang ini melibatkan Frank White Jr., seorang ahli perniagaan dan rakan kongsi firma pelaburan DuSable Capital Management LLC (DuSable). White Jr. secara sukarela bersetuju untuk menyerahkan wang tersebut kepada DOJ selepas mendapati bahawa dana yang diterima oleh DuSable berasal daripada sumber yang dikaitkan dengan dana 1MDB yang disalahgunakan, meskipun beliau tidak menyedari sumber dana itu pada waktu penerimaan.
SPRM dan Kerajaan Malaysia komited untuk meneruskan usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB. Sehingga kini, sebanyak RM29.73 bilion telah berjaya dipulangkan kepada kantung kewangan kerajaan Malaysia. Ini tidak termasuk USD20 juta yang dipulihkan hasil usaha SPRM dan FBI baru-baru ini.
SPRM juga sedang giat mendapatkan semula aset yang telah diselewengkan daripada negara Kuwait, Hong Kong, United Kingdom dan beberapa buah negara di Eropah. Usaha ini akan terus diperhebatkan melalui kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa untuk memastikan aset-aset yang disalahgunakan dapat dipulihkan demi kepentingan rakyat dan negara.
Kredit – SPRM
#Prezcom
Lebih Banyak Berita:
JAKIM Menafikan Pihaknya Dan Kerajaan Malaysia Memaksa Pelajar Bukan Islam Untuk Memeluk Islam.