Wanita Kerugian RM9,000 Diperdaya Juru Jual Korset
Kejadian dikatakan bermula apabila wanita tersebut tertarik kepada iklan pemakaian percuma baju korset yang dipaparkan oleh seorang pempengaruh melalui media sosial. – gambar hiasan.

Kuala Lumpur, 29 Dec 2024, 9.00 malam – SEORANG wanita di Sibu Sarawak kerugian RM9,000 setelah diperdaya oleh juru jual jualan langsung yang menawarkan baju korset dengan menjanjikan rasa luar biasa dengan hanya sekali pemakaian.

Kejadian dikatakan bermula apabila wanita tersebut tertarik dengan sebuah iklan oleh seorang pempengaruh tempatan yang mempromosikan iklan percubaan percuma baju korset yang disiarkan melalui media sosial.

Menurut Pengerusi MTPN Cawangan Sibu, Lucas Lau, mangsa bersetuju untuk mencuba baju ‘korset’ tersebut setelah terpengaruh dengan iklan itu dan ianya kelihatan begitu meyakinkan.

Disebabkan wanita itu telah tertarik dengan iklan dan baju korset berkenaan, pempengaruh tersebut telah mengaturkan satu temu janji bagi tujuan percubaan pemakaian percuma yang ditawarkan.

Selepas mencuba korset tersebut, juru jual itu telah membuat desakan supaya wanita itu membeli korset yang telah dicubanya tanpa bertanya harga sebenar korset itu. Wanita itu hanya mengetahui harga korset tersebut setelah mendapat invois yang mencatatkan hampir RM9,000 pada hari yang sama.

Lucas memaklumkan wanita itu merasa tertekan akibat ditipu dan mengambil keputusan untuk membuat aduan kepada MTPN. Aduan tersebut telah diterima oleh MTPN pada 13 December dan seterusnya membuat aduan rasmi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui e-KPDN pada 24 Disember lalu dengan disertakan bukti-bukti lain untuk tindakan selanjutnya.

Lucas turut memberi peringatan kepada orang ramai dan pengguna yang teraniaya agar membuat aduan segera bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil kepada mana-mana pihak yang membuat penipuan di dalam penjualan. Beliau juga mengingatkan supaya orang ramai memahami Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 (Akta 500) untuk melindungi hak mereka sebagai pengguna.

Pengguna mempunyai hak untuk memilih barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan pada harga kompetitif dan dengan jaminan kualiti,” tegasnya.

#Prezcom

Lebih Banyak Berita:

JAWI Sudah Memulakan Siasatan Terhadap Laporan Aktiviti Berzikir Di Tanah Perkuburan Danau Kota.