Kuala Lumpur, 04 OGOS 2024, 16:00 – PROGRAM khas peralihan akan diperkenalkan kepada pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 untuk membolehkan mereka memperoleh LMM kelas B (motosikal berkuasa tinggi) bermula 1 Oktober ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menyatakan bahawa salah satu syarat untuk menyertai program ini adalah individu yang terlibat mesti telah memegang LMM kelas B1 atau B2 secara aktif selama sekurang-kurangnya 10 tahun berturut-turut.
“Syarat ini bertujuan memastikan tahap kompetensi dan pengalaman pemanduan motosikal bagi individu sebelum beralih kepada motosikal berkuasa besar,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan 2024 peringkat Kementerian Pengangkutan (MOT) di Putrajaya hari ini.
Loke menjelaskan bahawa calon yang menyertai program peralihan khas ini akan dikenakan bayaran RM160 untuk menampung kos operasi di institut memandu (IM).
Beliau turut menambah bahawa calon perlu menghadiri latihan litar selama dua jam dan lulus penyesuaian kenderaan yang melibatkan amali penunggangan, maklumat pemanduan selamat serta pengoperasian motosikal berkuasa besar.
Sebelum ini, kos untuk mendapatkan LMM kelas B adalah RM900, yang melibatkan dua jam kelas teori dan 9.5 jam latihan litar.
Menurut Loke, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dalam fasa akhir persiapan untuk memperkenalkan program peralihan ini, termasuk pelaksanaan perubahan sistem dan penyelarasan dengan pihak IM.
Di samping itu, Loke juga menyatakan bahawa lesen kelas B1 (motosikal kurang 499cc) akan digabungkan dengan kelas B (melebihi 500cc).
Penggabungan ini ditetapkan setelah mengambil kira permintaan mendapatkan LMM kelas B1 yang terlalu rendah setiap tahun kerana ramai yang memilih untuk mendapatkan kelas B sahaja.
“Mulai 1 Oktober 2024, tiada lagi program mendapatkan LMM kelas B1 di IM akan dibuka kepada orang ramai. Dengan memperoleh LMM kelas B, individu layak memandu semua kuasa (cc) motosikal. Bagi pemegang lesen B1 sedia ada, mereka akan kekal di kategori berkenaan atau boleh menjalani program khas ini untuk mendapatkan kelas B,” katanya.
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Transformasi Bank Digital Perlu Dipercepatkan, Diberi Laluan Pantas – PM