Kuala Lumpur, 02 OGOS 2024, 21:00 – PEMBINAAN penempatan baharu untuk hampir 1,200 penduduk Orang Asli yang terlibat dengan projek Hidroelektrik Nenggiri dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2026.
Ketua Jajahan Gua Musang, Nik Raisnan Daud, menyatakan bahawa penempatan semula yang merangkumi lebih 832 hektar dan terletak berdekatan dengan kawasan asal penduduk sudah mencapai kemajuan hampir 25 peratus setakat ini.
Penduduk Orang Asli yang akan dipindahkan ke penempatan baharu ini terdiri daripada 249 Ketua Isi Rumah (KIR) dari Pos Pulat, Pos Tohoi, dan Kg. Wias.
Mereka akan menikmati infrastruktur asas yang lebih baik dan selesa. Kesemua penduduk ini akan dibahagikan kepada dua kawasan: Plot A di Bukit Beringin untuk penduduk dari Pos Pulat dan Kg. Wias, manakala Plot B di Kuala Yai untuk penduduk Pos Tohoi.
“Selain itu, mereka juga dapat meningkatkan sosioekonomi di kawasan baharu itu dengan kerjasama kerajaan Persekutuan dan negeri seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA),” katanya semalam.
Penempatan ini akan merangkumi tapak rumah seluas 0.2 hektar dengan rumah berkeluasan 750 kaki persegi, tapak dusun (0.2 hektar), ladang getah (2.2 hektar), serta kemudahan awam seperti sekolah, tadika, balai rawatan, surau, dan lot kedai.
Projek Hidroelektrik Nenggiri yang menelan kos RM5 bilion ini dijangka siap pada pertengahan tahun 2027 dan akan membentuk Tasik Takungan Utama seluas 53.84 kilometer persegi serta Kolam Pengaturan Aliran seluas 0.97 kilometer persegi.
Projek ini yang kini berada dalam fasa pembinaan akan membuka 2,000 peluang pekerjaan kepada masyarakat Orang Asli dan penduduk tempatan, serta mampu menjana 300 megawatt (MW) apabila beroperasi kelak.
Selain itu, projek ini akan meningkatkan kapasiti elektrik Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Semenanjung Malaysia, memainkan peranan utama dalam peralihan industri tenaga negara, serta memastikan bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap untuk rakyat dan negara.
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Perhimpunan Solidariti Bersama Palestin di Arena Axiata, Bukit Jalil