Kuala Lumpur, 28 July 2024, 12:00 – JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan permohonan kad pengenalan kanak-kanak bercip, MyKid, akan dibuka semula di semua pejabat JPN bermula Isnin depan. Permohonan ini dibuat semula selepas ditangguhkan sementara disebabkan kekurangan bekalan cip untuk kad mentah tersebut.
“Ibu bapa yang telah membuat permohonan Mykid untuk anak-anak mereka sebelum ini dan masih mempuyai resit permohonan MyKid, tetapi cetakannya ditangguhkan, perlu melakukan pengesahan cetakan terlebih dahulu di portal rasmi JPN (www.jpn.gov.my) sebelum hadir mengambilnya di pejabat yang telah diberitahu.
Pada Khamis, menerusi satu kenyataan oleh JPN, dimaklumkan bahawa tempoh semakan adalah tiga bulan bermula 29 Julai sehingga 31 Oktober 2024. Selepas tempoh itu, status permohonan MyKid akan terbatal dengan sendirinya dan permohonan baharu perlu dibuat semula.
Pada masa yang sama, JPN meminta kerjasama dari ibu bapa atau pemohon untuk memastikan MyKid yang telah dicetak dituntut secepat mungkin bagi mengelakkan lambakan MyKid yang akan mendatangkan kerugian bagi pihak kerajaan.
Sebelum ini, Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias, dilaporkan berkata, isu permohonan cetakan MyKid yang tertunggak sebanyak 136,238 termasuk 135,459 permohonan bagi tahun 2023 dan 779 permohonan bagi 2024 setakat Mac lalu, dijangka dapat diselesaikan. Perolehan bekalan mikrocip yang tertangguh semasa pandemik Covid-19 juga dijangka dapat diselesaikan pada bulan Julai secara berperingkat di seluruh negara.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat JPN di talian 03-88807077 atau emel ke pro@jpn.gov.my.
Kredit – SHarian
#PrezCom
Lebih Banyak Berita :