Zulfarhan

 

Kuala Lumpur, 25 July 2024, 12:00 – IBU bapa Zulfarhan Osman Zulkarnain, Zulkarnain Idros dan Hawa Osman, tidak dapat menahan tangisan syukur selepas Mahkamah Rayuan memutuskan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh anak mereka tujuh tahun lalu

Zulkarnain Idros, 60, dan Hawa Osman, 61, berkata keputusan ini akhirnya membawa keadilan kepada Zulfarhan.

“Kami bersyukur kerana Allah SWT telah makbulkan doa saya dan isteri supaya kes ini dikembalikan kepada hukuman gantung sampai mati.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kes ini dan pihak pendakwaan yang membuktikan bahawa adanya niat membunuh,” kata Zulkarnain kepada pemberita selepas prosiding hari ini.

Hawa, dalam keadaan sebak, turut menunjukkan gambar pasport Zulfarhan dan sapu tangan terakhir peninggalan anaknya kepada pihak media.

Keputusan ini dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Mohamed Zaini Mazlan, dan Datuk Azmi Ariffin, selepas menerima rayuan silang pendakwaan untuk menghidupkan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap keenam-enam tertuduh.

Enam tertuduh tersebut adalah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri, dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Mereka didapati bersalah atas tuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat mengikut Seksyen 109 kanun yang sama.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan keenam-enam tertuduh bersalah menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda.

Kejadian itu berlaku di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM, antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi pada 22 Mei 2017. Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Panel Mahkamah Rayuan juga mengetepikan hukuman penjara tiga tahun ke atas 12 lagi bekas pelajar UPNM yang mencederakan Zulfarhan dan menggantikannya dengan hukuman penjara empat tahun.

Mereka adalah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani, dan Mohamad Syazwan Musa.

Kesemua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba, di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Kesemua tertuduh yang kini berusia 28 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 21 dan 22 Mei 2017.

Peguam Azzizul Shariman Mat Yusoff, yang mewakili Muhammad Adib Iman, Mohamad Syazwan, dan Luqman Hakim, mengesahkan bahawa 12 tertuduh diperintah menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula hari ini.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Tular Jual Ron95 Kepada Kereta Asing, Stesen Minyak Diambil Tindakan