Kuala Lumpur, 18 JULAI 2024, 16:00 – DEWAN Rakyat hari ini telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024, yang bertujuan untuk menubuhkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA).
Kelulusan ini diperoleh selepas bacaan kali ketiga yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Dalam penggulungan perbahasan RUU tersebut, Shamsul Anuar menjelaskan bahawa MCBA akan mengambil alih tanggungjawab agensi berkaitan di pintu masuk negara, termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Namun, beliau menekankan bahawa pengambilalihan ini tidak akan melibatkan fungsi seperti pentafsiran dan kutipan duti atau cukai yang dikendalikan oleh JKDM, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, serta Kementerian Kesihatan.
Shamsul Anuar juga menjelaskan bahawa peralihan tanggungjawab ini tidak akan mengganggu fungsi agensi atau kementerian lain di luar kawasan pintu masuk, yang berfungsi sebagai entiti semak dan imbang bagi pengawalan kemasukan orang, barang, dan kenderaan yang telah melepasi kawalan MCBA di pintu masuk negara.
Mengenai penjawatan dalam MCBA, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 13,720 jawatan yang melibatkan agensi berkaitan akan beralih kepada MCBA sebagai anggota dan pegawai.
Pada 9 Julai lalu, RUU ini dibacakan kali pertama dengan tujuan untuk menjelaskan cadangan fungsi dan kuasa MCBA berhubung kawalan dan perlindungan sempadan, serta menetapkan peruntukan berkaitan.
RUU ini juga mencadangkan bahawa penguatkuasaan, penyiasatan, dan pendakwaan kesalahan di bawah undang-undang negeri Sabah dan Sarawak akan dilakukan oleh pihak berkuasa negeri masing-masing.
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Waspada Taktik Penipuan Gunakan Teknologi Ai, ‘Deepfake’ – Fahmi