Kuala Lumpur, 07 July 2024, 16:00 – BEBERAPA ahli Parlimen telah mencadangkan agar Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk penelitian lebih mendalam.
Dalam sesi perbahasan rang undang-undang tersebut, Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) menekankan pentingnya merujuk rang undang-undang ini kepada jawatankuasa khas.
Beliau berpendapat bahawa langkah ini akan membolehkan lebih banyak sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, termasuk pusat rawatan swasta, bagi mengenal pasti rawatan terbaik untuk penagih dadah.
“Kerajaan perlu bekerjasama dengan pusat rawatan swasta, termasuk yang mengamalkan nilai dan ajaran agama. Berdasarkan pengalaman bekas penagih, pendekatan rawatan yang menekankan kasih sayang dan pendidikan agama lebih berkesan dalam membantu mereka keluar dari kancah penagihan dadah,” katanya.
Beliau juga menyarankan agar rang undang-undang ini diletakkan di bawah pengawasan Kementerian Kesihatan (KKM) dan bukannya Kementerian Dalam Negeri (KDN) jika kita serius mahu mengubah pandangan terhadap penagih dadah daripada jenayah kepada dekriminalisasi.
Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) pula menyuarakan beberapa kebimbangan berkaitan takrifan ‘pegawai pemulihan’ dalam rang undang-undang tersebut yang tidak menyebut kelayakan dan kepakaran mereka. Beliau juga mencadangkan agar pegawai KKM turut terlibat.
“Selain itu, terdapat pertindihan antara pindaan akta ini dan Akta Dadah Berbahaya 1952. Di bawah Akta Dadah Berbahaya, masih terdapat jenayah berkaitan pengambilan dadah sendiri seperti kes urin, yang boleh mengakibatkan sabitan kesalahan jika seseorang ditangkap. Sekiranya berlaku percanggahan antara pindaan ini dan Akta Dadah Berbahaya, ia boleh menimbulkan penyalahgunaan kuasa dan mungkin rasuah, terutamanya jika penagih atau pengguna dadah ditangkap,” katanya.
Wong Shu Qi (PH-Kluang) turut membangkitkan isu mengenai pindaan Seksyen 9 akta tersebut yang mengenakan denda tidak lebih RM5,000 kepada ibu bapa atau penjaga penagih dadah bawah umur. Beliau berpendapat bahawa tindakan denda ini adalah langkah mundur.
“Denda ini akan menyukarkan ibu bapa atau penjaga yang kurang berkemampuan untuk membayar, menyebabkan mereka mungkin enggan melaporkan kesalahan anak mereka yang terlibat dengan dadah. Pindaan ini perlu dikaji semula untuk mengelakkan kesukaran dalam usaha pemulihan penagih bawah umur,” katanya.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor, yang mempengerusikan sesi tersebut, meminta pandangan Syahredzan Johan (PH-Bangi) dan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak). Syahredzan bersetuju dengan Wong bahawa denda mungkin tidak memotivasi ibu bapa atau penjaga untuk melaporkan kesalahan anak mereka, dan berpandangan bahawa hukuman harus menjadi langkah terakhir.
Sebaliknya, Amirudin berpendapat bahawa perlu ada siasatan lanjut terhadap ibu bapa atau penjaga penagih bawah umur, kerana terdapat kemungkinan kesalahan itu disebabkan oleh pengaruh atau kecuaian ibu bapa yang juga mungkin penagih dadah.
“Isu ini perlu ditangani dengan serius dan tidak boleh diselesaikan dengan hanya mengkriminalisasikan ibu bapa. Siasatan perlu dilakukan kerana mungkin terdapat kecuaian ibu bapa serta pengaruh rakan sebaya dan persekitaran.
Saya menyokong siasatan yang teliti dan bukan hanya hukuman, tetapi hukuman juga perlu dikenakan kepada mereka yang benar-benar cuai dan sengaja mengheret anak dan keluarga dalam kancah penagihan dadah,” jelasnya semasa perbahasan.
Kredit – BERNAAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>