Blackrock

 

Kuala Lumpur, 24 Jun 2024, 12:00 – TINDAKAN beberapa pihak yang mempergunakan isu penyertaan BlackRock Inc dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) adalah satu langkah politik sempit yang bertujuan menanam persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengecam tindakan ini dengan menyatakan bahawa ia bukan sahaja mencipta ‘kepalsuan’, malah menyifatkannya sebagai satu pendekatan yang sangat cetek yang boleh merosakkan perancangan negara.

“Mereka yang cuba memanipulasi isu ini tidak melihat kepada kepentingan kita untuk meningkatkan mutu perkhidmatan di lapangan terbang. Sebenarnya, BlackRock tiada kaitan langsung dengan perbincangan antara MAHB dan Global Infrastructure Partners (GIP), syarikat yang diakui mempunyai kemampuan dan kepakaran untuk membantu kita memulihkan dan menambah baik lapangan terbang,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui ketika hadir memberikan sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin, pada proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di sini pada Sabtu.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan menjelaskan bahawa BlackRock merupakan pelabur institusi dan terlibat sebagai pemegang saham dalam pelbagai syarikat di seluruh dunia, bukan hanya di Malaysia.

Mengenai penstrukturan semula MAHB, beliau menjelaskan bahawa 70 peratus saham entiti itu dipegang oleh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan saham istimewa, manakala selebihnya dipegang oleh GIP. Tiada saham yang dijual kepada BlackRock.

Oleh itu, beliau menegaskan bahawa semua keputusan strategik dalam MAHB masih di tangan kerajaan Malaysia, termasuk dalam urusan menentukan pemilihan jawatan-jawatan penting seperti pengerusi dan ketua pegawai eksekutif, serta memastikan tiada petugas yang akan diberhentikan.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) itu juga menyatakan bahawa isu ini telah dibincangkan pada peringkat Jemaah Menteri dan setakat ini tiada percanggahan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan berhubung isu ini, dan ia masih boleh dibincangkan sekiranya terdapat masalah.

Semalam, GIP menegaskan bahawa BlackRock tidak pernah terlibat dalam sebarang transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan MAHB melalui Gateway Development Alliance (GDA).

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Subsidi Diesel: Pantau Media Sosial Elak Sebar Maklumat Palsu – Exco