Bas Sekolah

 

Kuala Lumpur, 18 Jun 2024, 16:00 GABUNGAN Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSSM) mengesahkan bahawa tiada kenaikan tambang bas sekolah akan dilaksanakan berikutan subsidi diesel bersasar yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Presidennya, Mohd Rofik Mohd Yusoff, menjelaskan bahawa tambang bas sekolah akan kekal seperti sedia ada kerana pengusaha bas masih menerima subsidi diesel sebanyak RM1.88 seliter seperti yang diumumkan oleh pihak kerajaan. Rofik turut menyatakan rasa terkejutnya apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada pengusaha bas sekolah untuk tidak menaikkan tambang, atau mereka akan menghadapi tindakan tegas.

“Kami berkomitmen untuk tidak menaikkan tambang bas sekolah kepada ibu bapa kerana subsidi diesel masih diterima. Jadi, isu kenaikan tambang tidak timbul sama sekali. Namun, kami tidak menolak kemungkinan bahawa jika ada pengusaha yang menaikkan tambang, mungkin mereka adalah yang tidak berdaftar sebagai ahli persatuan atau tidak berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya.

Rofik juga menambah bahawa kadar tambang bas sekolah akan kekal seperti yang telah dipersetujui oleh pengusaha dan ibu bapa.

Kelmarin, Anwar Ibrahim memberikan amaran bahawa pengusaha bas sekolah yang menaikkan tambang bas akan berdepan dengan tindakan pembatalan lesen mereka. Ini kerana kenaikan tambang semasa subsidi masih diterima dianggap sebagai suatu kesalahan.

“Kami memberi amaran, kamu sudah menerima subsidi diesel. Jika kamu tetap menaikkan harga, lesen kamu akan ditarik balik dan syaratnya akan dibatalkan,” tegasnya.

Sebelum ini, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahma, juga menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk menaikkan tambang bas sekolah. Menurutnya, pengusaha bas tidak akan menaikkan tambang tanpa alasan yang munasabah.

Amali menjelaskan bahawa kenaikan tambang bas tidak semata-mata bergantung kepada harga diesel, tetapi juga kepada peningkatan kos operasi seperti harga minyak hitam, tayar, alat ganti, dan upah bengkel. Walau bagaimanapun, pengusaha biasanya tidak akan menaikkan tambang jika mereka mampu menampung kos tersebut.

Amali turut melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Perdana Menteri yang dianggapnya sebagai satu bentuk ugutan terhadap pengusaha bas sekolah. Dia berpendapat bahawa tindakan membatalkan lesen syarikat bas merupakan langkah yang kurang bijak dalam keadaan negara yang sedang menghadapi masalah kekurangan bas sekolah.

Sebaliknya, Amali menyarankan agar kerajaan lebih fokus untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul dalam pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), termasuk melibatkan pengusaha bas di seluruh negara. Antara masalah yang dihadapi adalah penetapan kuota subsidi, ketelusan proses pembayaran di stesen minyak, serta isu dalam pendaftaran di bawah sistem tersebut.

“Selesaikan masalah ini terlebih dahulu. Jangan ugut-ugut kami. Jika kami terpaksa menghentikan operasi 16,000 bas sekolah di seluruh negara, maka 1.5 juta murid akan terjejas dan tidak dapat ke sekolah,” tegasnya.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Harga Telur Ayam Turun 3 Sen