Kuala Lumpur, 17 Jun 2024, 12:00 – KAWASAN pembinaan Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai, Kelantan, khususnya dari Ketereh ke Kok Lanas di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama, kini dilarang untuk dimasuki oleh orang awam. Jabatan Kerja Raya (JKR) mengingatkan bahawa tindakan pencerobohan ke kawasan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari Jumaat, JKR menyatakan bahawa kawasan tersebut merupakan tapak pembinaan dan akses kepada orang ramai adalah dilarang sama sekali. Kontrak pembinaan projek ini telah tamat dan kini dalam proses tender semula. Untuk mengawal akses, langkah-langkah keselamatan telah diambil, termasuk pemasangan papan tanda amaran dan penghadang konkrit.
Kenyataan ini dikeluarkan sebagai respons kepada artikel sebuah akhbar yang bertajuk ‘Lebuh Raya Tak Siap Kini Jadi Litar Rempit’ yang diterbitkan pada 11 Jun lalu. Artikel tersebut melaporkan bahawa kawasan pembinaan tersebut telah digunakan sebagai litar perlumbaan haram oleh penunggang motosikal atau ‘mat rempit’.
JKR mengingatkan bahawa papan tanda amaran dan penghadang konkrit akan sentiasa dipantau untuk memastikan ia berada dalam keadaan baik dan teratur. Laporan polis juga telah dibuat untuk memohon bantuan pihak berkuasa dalam menjalankan rondaan berkala di lokasi tersebut. Kerjasama daripada orang ramai dalam mematuhi arahan dan papan tanda amaran adalah sangat diharapkan.
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>