Kuala Lumpur, 06 Jun 2024, 12:00 – KADAR fi untuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan tanpa pelepasan (ZEV) atau kenderaan elektrik akan dikurangkan secara drastik mulai 1 Januari 2026.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan bahawa kadar fi baru ini adalah 85 peratus lebih rendah berbanding kadar sedia ada.
Menurut beliau, kadar fi baru ini bertujuan untuk menyokong peralihan kepada kenderaan yang tidak menghasilkan pelepasan karbon dengan memastikan kos yang lebih rendah berbanding dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dalam kategori yang sama.
Kadar fi ini akan dikenakan ke atas ZEV yang termasuk dalam kategori kenderaan elektrik berkuasa bateri (PBEV) dan kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV) sahaja.
“Untuk memudahkan peralihan kepada kenderaan bebas asap, kadar fi untuk kebanyakan kenderaan ZEV akan menjadi lebih rendah berbanding kadar LKM untuk kenderaan ICE dalam kategori yang serupa,” kata Anthony Loke semasa sidang media.
Penetapan fi akan dilakukan berdasarkan julat kuasa motor dengan setiap blok ditetapkan pada 100,000 Watt.
Sebagai contoh, blok pertama adalah untuk ZEV dengan kuasa dari 1 Watt hingga 100,000 Watt, blok kedua dari 100,001 hingga 210,000 Watt, dan seterusnya. Bagi setiap blok, akan ada kadar minimum dan maksimum yang ditetapkan.
Sebagai contoh, kadar fi LKM untuk blok pertama adalah antara RM20 hingga RM70, manakala blok ketiga adalah antara RM305 hingga RM575.
Kenaikan fi akan ditentukan secara progresif berdasarkan setiap tambahan 9,999 Watt. Contohnya, dalam blok kedua, fi LKM bagi kuasa motor elektrik 100,001 Watt adalah RM80, dan dengan kenaikan 9,999 Watt, fi LKM akan menjadi RM100.
Anthony Loke juga memberikan contoh khusus: bagi kenderaan BYD Dolphin Premium Standard Range dengan kapasiti 130 kW, kadar fi LKM yang dikenakan adalah RM120, berbanding kadar sedia ada RM624. Untuk Tesla Model Y dengan kapasiti 220 kW, kadar fi baru adalah RM305, berbanding RM2,583 sebelum ini.
Beliau menambah bahawa kadar fi LKM baru ini akan diumumkan secara rasmi dalam waktu terdekat.
Kredit – AstroAwani
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Kampung Sri Makmur: Tidur Bawah Jejambat Selepas Rumah Diroboh