Kekuatan Islam

 

Kuala Lumpur, 04 Jun 2024, 12:00 – DATUK Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menjadikan negara ini sebagai negara MADANI yang berasaskan kekuatan, semangat, dan nilai-nilai Islam.

Perdana Menteri menegaskan bahawa pembangunan negara tidak hanya bergantung kepada penemuan baru, tetapi juga perlu disandarkan kepada kekuatan akidah dan akhlak Islam.

“Sebagai tanggungjawab kita bersama, marilah kita hidupkan semangat ‘al-amal lillahi taala’ dan mempraktikkan nilai-nilai ini dalam kehidupan seharian kita,” kata Anwar.

Beliau menyampaikan ucapan tersebut dalam Program Darul Ehsan Berselawat yang diadakan bersempena Festival Turath Islami (FTI) Selangor di pekarangan Stadium Shah Alam malam ini.

Program penutup FTI yang dihadiri oleh kira-kira 50,000 orang itu turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan bekas Mufti Agung Mesir, Profesor Dr Ali Jum’ah.

Festival Turath Islami Selangor yang memasuki edisi kedua pada 26 Mei lalu bertujuan untuk menghidupkan semula pengajian kitab warisan dalam kehidupan harian umat Islam di Nusantara.

Anwar turut mengingatkan rakyat untuk kembali menghayati dan mengamalkan semangat Islam dalam setiap aspek kehidupan, baik di rumah, sekolah, pejabat, ataupun dalam tugas sebagai pegawai kerajaan.

Perdana Menteri juga merakamkan penghargaan kepada Amirudin dan kerajaan Selangor atas inisiatif menganjurkan program Darul Ehsan Berselawat, yang turut memperkukuh semangat umat Islam untuk memuliakan Nabi Muhammad SAW.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Program Budi Madani Langkah Proaktif Bantu Ringan Beban Rakyat