Pelancongan

 

Kuala Lumpur, 01 Jun 2024, 16:00 MALAYSIA terus mengekalkan kedudukan sebagai destinasi percutian mesra Muslim terbaik buat kali kesembilan dalam laporan Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2024 yang dikeluarkan hari ini.

Pengiktirafan ini adalah seiring dengan anugerah Malaysia sebagai ‘Destinasi Mesra-Muslim Terbaik’ oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk tahun kedua berturut-turut, yang diumumkan oleh CrescentRating dan Mastercard dalam Halal in Travel Awards yang diadakan di Singapura.

Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC), Nizran Noordin, menyatakan bahawa populariti Malaysia di kalangan pengembara Muslim adalah disebabkan oleh kemudahan makanan Halal yang mudah diakses, pelbagai kemudahan serta perkhidmatan berkaitan agama.

Menurut Nizran, Malaysia juga menawarkan pantai yang menakjubkan, kepelbagaian budaya, dan pengalaman membeli-belah yang unik.

“Selain itu, Malaysia menyediakan pelbagai pakej pelancongan mesra Muslim yang membolehkan pelancong menikmati kekayaan sejarah negara, seni bina masjid, warisan budaya, gastronomi, alam semula jadi, serta seni dan budaya tempatan,” jelasnya.

Sebagai negara majoriti Islam, Malaysia memanfaatkan infrastruktur sedia ada untuk memberikan pengalaman yang menyenangkan kepada pengembara Muslim dalam melaksanakan kewajipan agama mereka semasa bercuti.

ITC, yang berada di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengalaman pelancong Muslim.

Nizran turut menambah bahawa pasaran pelancongan Muslim global menawarkan peluang besar dengan populasi melebihi 1.9 bilion orang.

Pada tahun 2013, bilangan pengembara Muslim dilaporkan sebanyak 108 juta, meningkat kepada 160 juta pada tahun 2019 menurut laporan oleh Mastercard dan CrescentRating.

Dengan pembukaan semula sempadan di seluruh dunia, laporan GMTI meramalkan sebanyak 230 juta pelancong Islam menjelang 2028.

Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan dan pihak berkepentingan dalam industri pelancongan terus komited untuk menarik pelancong Muslim dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan.

ITC menyediakan pelbagai latihan, pembangunan kapasiti, penyelidikan, serta pensijilan untuk memastikan pemain industri memahami dan memenuhi keperluan pelancong Muslim.

Kredit – SHarian

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Rawatan Medan Untuk Jemaah Di Muzdalifah