Kuala Lumpur, 27 Mei 2024, 16:00 – HASIL semakan terhadap tiga daripada lapan kesan cap jari yang ditemui di lokasi kejadian serangan asid ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim, di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan tiada rekod ditemui.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan bahawa pihak polis telah mendapatkan bantuan JPN untuk memeriksa cap jari yang telah dianalisis oleh pihak forensik.
“JPN mendapati tiada sebarang rekod dalam sistem mereka, mungkin kerana cap jari yang ditinggalkan bukan daripada ibu jari,” jelas beliau ketika dihubungi pada hari Ahad.
Sebelum ini, laporan media menyebut bahawa hasil analisis menunjukkan lima daripada lapan cap jari yang ditemukan di lokasi kejadian tidak dapat dipadankan dengan sebarang rekod.
Razarudin turut memaklumkan bahawa baki tiga cap jari yang ada tidak mempunyai padanan dalam pangkalan data Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ini mungkin menunjukkan individu tersebut tidak pernah ditahan oleh polis atau tiada rekod kesalahan lampau.
Sebagai langkah seterusnya, polis telah mengedarkan fotofit atau lakaran wajah individu yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut. Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali individu yang seperti dalam lakaran diminta untuk tampil bagi membantu siasatan.
Pada 9 Mei, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengesahkan bahawa polis sedang menganalisis cap jari yang ditemui di lokasi kejadian serangan asid tersebut.
Faisal Halim mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian tubuhnya selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei.
Kredit – SHarian
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>