Kuala Lumpur, 20 Mei 2024, 12:00 – KERAJAAN Malaysia akan memperkenalkan pakej langganan internet jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi khusus untuk sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermula 1 Julai ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengumumkan bahawa pakej ini akan dilaksanakan melalui projek Point of Presence (PoP) dan akan menawarkan sambungan internet berkelajuan tinggi dengan harga yang lebih berpatutan berbanding talian mudah alih.
“Maklumat lanjut mengenai perincian pakej ini akan diumumkan kemudian. Namun, mulai 1 Julai, sekolah-sekolah di bawah KPM, yang berjumlah 10,000 buah, akan mempunyai pilihan untuk melanggan pakej internet yang lebih laju dan lebih murah,” katanya.
Kerajaan berharap infrastruktur telekomunikasi ini dapat memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di Sabah, dengan meningkatkan taraf hidup, memperlancar proses pengajaran dan pembelajaran, serta membolehkan mereka menerokai gaya hidup baharu yang berkualiti.
Fahmi menyatakan perkara ini ketika menghadiri program tinjauan PoP di Sekolah Kebangsaan Balimbang, Pulau Bum Bum.
Beliau juga menambah bahawa pihaknya akan mempertimbangkan untuk menambah akses point seperti wifi tambahan di kawasan yang capaian internetnya masih terhad, terutamanya di bilik guru, pusat sumber sekolah, dan makmal komputer.
“Sekiranya perlu, kita akan membantu menambah beberapa akses point dan saya akan meminta Kementerian Komunikasi serta Kementerian Pendidikan untuk meneliti isu ini,” tambahnya.
Pelaksanaan projek PoP ini juga melibatkan penyediaan infrastruktur jalur lebar gentian optik di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman, menjadikannya sebagai hab untuk perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang lebih stabil.
Fahmi menyebutkan bahawa sebanyak 437,000 premis akan menerima perkhidmatan ini apabila projek selesai. Fasa pertama PoP merancang untuk membina 630 PoP, sementara fasa kedua akan melibatkan 3,693 PoP. Sehingga Mei 2024, sebanyak 1,044 PoP daripada 4,370 PoP telah siap, termasuk 59 PoP di Sabah.
Fahmi juga menegaskan bahawa sokongan infrastruktur jalur lebar gentian optik ini akan meningkatkan proses pembelajaran dengan memberikan akses kepada maklumat dan sumber rujukan yang luas, memudahkan penyebaran ilmu pengetahuan.
Inisiatif ini turut berpotensi untuk memajukan ekonomi digital di kawasan luar bandar dengan membolehkan urusan perniagaan dalam talian dilakukan melalui capaian internet yang stabil dan berkualiti.
“Kelajuan internet yang disediakan ini akan menjadi penanda aras bagi penggunaan teknologi moden seperti Internet Benda (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), dan Smart Grid, yang dapat memperbaiki kualiti hidup rakyat,” jelas Fahmi.
Beliau juga berharap bahawa dengan adanya inisiatif ini, pulau-pulau yang dulunya sukar dihubungi akan dapat mengakses talian tetap dengan lebih mudah, meningkatkan taraf hidup dan membolehkan pengajaran serta pembelajaran yang lebih lancar.
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Kad Diskaun Khas Menu Rahmah Tawar Diskaun 40 Peratus Belian Barangan Keperluan Perniagaan