Kuala Lumpur, 14 Mei 2024, 12:00 –
Program eUsahawan yang diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah berjaya menghasilkan jualan terkumpul melebihi RM1.24 bilion di seluruh negara.
Menurut Pengerusi MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh, eUsahawan adalah sebahagian daripada Kempen Saya Digital, yang menyediakan latihan luar dan dalam talian untuk melatih individu, pelajar, dan usahawan mikro dalam bidang keusahawanan digital.
Tujuan program ini adalah untuk membantu mereka menjana pendapatan, mempromosikan produk, dan meningkatkan jualan.
“Melalui program eUsahawan, MDEC telah berjaya melatih 563,543 pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT), pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta usahawan di seluruh negara. Jualan terkumpul yang dijana melebihi RM1.24 bilion,” ujar Syed Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perasmian Jelajah Saya Digital (JSD) @ Shah Alam.
Beliau juga menyebut bahawa di Selangor sahaja, sebanyak 103,858 usahawan telah memanfaatkan program ini, menghasilkan jualan terkumpul melebihi RM309 juta.
JSD @ Shah Alam yang merupakan siri kelima tahun ini berlangsung selama dua hari di Pusat Beli-Belah AEON Mall Shah Alam.
Acara ini mengambil bentuk karnival dengan aktiviti interaktif seperti bengkel literasi digital dan keusahawanan, pertandingan eSport, dan pameran oleh agensi kerajaan yang memfokuskan aspek pendigitalan.
Syed Ibrahim turut menekankan bahawa MDEC akan terus melaksanakan program seumpama ini selaras dengan visi Malaysia MADANI yang mengutamakan keterangkuman dan kesaksamaan.
Program ini bertujuan memastikan kemakmuran dan peluang yang dicipta dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
JSD @ Shah Alam dijangka menarik lebih 1,000 pengunjung yang terdiri daripada penduduk tempatan, pelajar IPT, pelatih institusi kemahiran, dan pengunjung pusat beli-belah tersebut.
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Warga KKB Harap ADUN Baharu Jalankan Tanggungjawab Dengan Cekap