Visa Haji

 

Kuala Lumpur, 30 APRIL 2024, 12:00 – MALAYSIA telah mencatat sejarah sebagai negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji 1445H/2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, menyatakan bahawa kejayaan ini adalah hasil daripada persiapan awal yang dilaksanakan oleh Tabung Haji (TH) dalam pelbagai aspek.

“Dengan adanya keupayaan dari segi komitmen warga kerja dan sistem yang sedia ada, apabila permohonan visa dibuka, kita yang pertama sekali menguruskan dengan cepat. Ini adalah asasnya dan sudah tentu melalui perjanjian yang kita uruskan dari awal menjadikan proses lebih mudah,” kata Dr. Mohd Na’im.

Beliau mengucapkan tahniah kepada TH atas kecekapan agensi tersebut dalam mendapatkan visa awal daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Dr. Mohd Na’im berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau sesi pemprosesan visa dan pasport jemaah haji di Menara Tabung Haji pada malam tersebut.

Beliau juga menyatakan bahawa beliau turun padang untuk menyantuni dan melihat sendiri gerak kerja warga TH termasuk kakitangan sambilan yang dilantik untuk urusan pemprosesan visa.

“Alhamdulillah, saya berpeluang bertemu dengan mereka, memberi semangat dan mengucapkan jutaan terima kasih kerana membantu TH. Mereka sangat penting kerana jika visa ini tidak diperoleh, jemaah kita tidak boleh ke tanah suci,” tambahnya.

Turut hadir dalam sesi kunjungan tersebut adalah Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Sebagai tanda penghargaan, Dr. Mohd Na’im turut mengedarkan pek makanan kepada petugas-petugas TH.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Tak Minat Subjek STEM, Negara Akan Hilang Saintis Melayu Dalam Tempoh 15 Tahun Lagi