
Kuala Lumpur, 22 APRIL 2024, 12:00 –
Institut GIATMARA Bagan Datuk kini telah dinaik taraf menjadi Malaysia-China Institute (MCI), sebuah pusat Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memfokuskan kepada kenderaan elektrik (EV).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan bahawa institut ini melatih pelajar Malaysia sebelum mereka dihantar ke China untuk mengikuti latihan lanjut.
Pengoperasian MCI telah pun bermula di kompleks GIATMARA Bagan Datuk yang sedia ada.
“Sebenarnya, daripada 2,000 tempat yang disediakan, 650 orang telah kita hantar ke China. Kita juga membuka peluang ini kepada masyarakat Cina, India, serta rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak,” kata beliau kepada pemberita semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 di pekarangan Kompleks UMNO Bagan Datuk pada Jumaat.
Ahmad Zahid juga menambah bahawa China menyediakan tempat dan pembiayaan latihan secara percuma, kecuali kos tiket yang perlu ditanggung oleh pelajar. Beliau telah berbincang dengan beberapa pihak untuk menaja kos tiket tersebut.
Penubuhan MCI ini selaras dengan Dasar Kerjasama Timur yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Institut TVET ini bertujuan untuk merealisasikan kerjasama antara Malaysia dan China.
“China telah menyatakan bahawa pelaburan mereka di Malaysia memerlukan ramai jurutera dan juruteknik dalam bidang AI (kecerdasan buatan), EV, hidrogen, solar, dan telekomunikasi. Oleh itu, Majlis TVET negara telah bersetuju supaya kursus-kursus yang ditawarkan di institusi TVET akan memfokuskan kepada bidang-bidang ini,” katanya.
Pada Januari lalu, media melaporkan bahawa 17 institusi TVET di China bersetuju untuk bekerjasama dengan Malaysia-China Institute (MCI) dengan menawarkan 2,000 kuota latihan sepanjang tahun ini bagi meningkatkan kemahiran pelajar TVET Malaysia.
Kuota latihan ini merangkumi pelbagai bidang, terutamanya berkaitan Kenderaan Elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI), teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT), solar, teknologi maklumat, dan pemesinan.
Kredit – Sinar Harian
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau Mohon Maaf, Beras Dibuang Sudah Rosak