Kuala Lumpur, 13 APRIL 2024, 12:00 – DATUK Awie, yang kini berusia 56 tahun, meluahkan rasa bersalahnya sebagai seorang bapa kerana kurangnya masa yang dihabiskan bersama keluarga dan anak-anak semasa mereka masih kecil.
Awie, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, menyatakan hasratnya untuk memperlahankan kerjaya seninya dalam sembilan tahun akan datang bagi menebus masa yang telah terlepas bersama keluarga.
“Saya sudah menjadi penyanyi sejak usia belasan tahun. Wings akan mencapai usia 40 tahun, manakala kerjaya solo saya pula telah mencecah 30 tahun.
“Saya telah banyak mengorbankan masa untuk keluarga dan anak-anak. Kini, saya ingin ‘membayar balik’ masa tersebut dengan mengutamakan masa bersama isteri, anak-anak dan keluarga.
“Saya mahu memberi tumpuan kepada anak-anak saya yang masih kecil dan menghabiskan masa berkualiti bersama mereka. Dua orang anak perempuan saya kini sedang belajar di universiti dan jarang saya lihat.
“Dulu, ketika mereka masih kecil dan ada program di asrama, saya tak dapat hadir. Begitu juga dengan konsert anak saya di sekolah tadika, saya tidak dapat menghadirinya kerana sibuk dengan konsert sendiri,” katanya.
Awie mengakui bahawa kurangnya detik-detik indah melihat anak-anak membesar di depan mata adalah sesuatu yang sangat menyedihkan dalam hidupnya. Kini adalah masa untuk mengutamakan keluarga.
Beliau juga akan menimang cahaya mata ketujuh tidak lama lagi apabila isterinya, Datin Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin, kini hamil lima bulan, anak kedua hasil perkongsian hidup mereka.
Pada 7 Oktober 2016, Awie berkahwin dengan Sharifah Ladyana di Songkhla, Thailand dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki pada tahun 2020.
Menerusi perkahwinan kedua dengan Rozana Misbun pada 20 Jun 2005, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 19, Putra Ahmad Rezzki, 16, dan Puteri Qasseh Antasha, 14, sebelum bercerai pada 1 November 2014.
Selain itu, Awie juga memiliki dua anak perempuan hasil perkahwinan pertamanya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Putri Aleeya Antasha, 24, dan Putri Aleefa Antasha, 22, yang kini melanjutkan pengajian di universiti.
Awie ditemui media pada majlis berbuka puasa bersama Rumah Produksi Merah dan Awie Entertainment yang dianjurkan di Bike & Beans, Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini, malam tadi.
Pada majlis itu, Awie juga menyampaikan sumbangan peribadi kepada insan seni yang memerlukan iaitu pelakon Isma Aliff, keluarga Allahyarham Yazit Search dan anak Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Sazali P. Ramlee.
Turut diumumkan adalah penganjuran konsert solo Awie, Journey, yang akan berlangsung di dua lokasi iaitu di Star Theatre, Singapura pada 27 Julai depan dan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) pada 3 Ogos.
Konsert istimewa ini akan membawa peminat menelusuri perjalanan karier nyanyian Awie dari mula sampai ke hari ini, termasuk banyak kisah suka dan duka yang pernah dihadapinya turut dikongsikan kepada peminat.
Kredit – HMetro
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>