Beras

 

Kuala Lumpur, 12 APRIL 2024, 16:00 – KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memastikan bahawa bekalan beras di pasaran mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat bagi tempoh 5.48 bulan.

Menurut KPKM, setakat ini negara mempunyai stok fizikal beras sebanyak 1.097 juta tan metrik, termasuk 290,000 tan metrik stok penimbal. Jumlah ini stabil dan mampu menampung keperluan negara dalam tempoh yang ditetapkan.

Malah, stok fizikal beras negara berbanding jumlah penduduk adalah antara yang tertinggi di rantau ini.

Pengedaran stok beras putih tempatan (BPT) sedang dijalankan dengan giat, dan harga beras putih import (BPI) turut diturunkan antara RM2 hingga RM3 bagi menampung keperluan pengguna.

Langkah ini diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bulan lalu.

Kerajaan juga sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan melalui 12 Inisiatif Gelombang Padi.

Antaranya termasuk peluasan program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) ala Sekinchan, program penanaman padi lima musim untuk dua tahun, dan usaha memperkukuh infrastruktur pengairan sawah.

Selain itu, KPKM menggalakkan rakyat untuk menanam dan mengambil hasil tanaman lain yang bernutrisi dan sihat, sebagai tambahan kepada makanan ruji negara.

Ini adalah salah satu fokus utama KPKM dalam melaksanakan agenda keterjaminan makanan negara selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2021-2030.

KPKM menekankan bahawa usaha-usaha ini penting untuk memastikan keterjaminan bekalan makanan negara dan kesejahteraan rakyat.

Credit – SH

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>