Kuala Lumpur, 01 APRIL 2024, 12:00 – SEORANG pemuda Palestin yang tinggal di negara ini kini berdepan kebimbangan mengenai keselamatannya selepas menerima enam panggilan daripada individu yang dipercayai berasal dari Israel.
Yousuf Abuassi, 28, mendedahkan bahawa dia telah menerima ugutan daripada beberapa warga Israel kerana sering memuat naik maklumat mengenai penindasan yang berlaku di Gaza.
Yousuf memberitahu, dia menerima ugutan tersebut bulan lalu dan terpaksa membuat laporan kepada pihak polis. “Mereka mengancam untuk mencari saya sehingga mereka dapat bertemu dengan saya. Saya sangat bimbang kerana rakan saya, Dr. Fadi Al-Batsh, telah menjadi mangsa pembunuhan pada tahun 2018,” katanya.
Menurut Yousuf, sejak berita mengenai tangkapan seorang lelaki warga Israel tersebar, dia sering dihubungi oleh pelbagai individu yang bertanya tentang keselamatan keluarganya.
“Alhamdulillah, ramai yang prihatin dan bertanya khabar tentang saya dan keluarga. Saya kini lebih berhati-hati dengan pergerakan saya dan memastikan semua ahli keluarga sentiasa berada dalam pengawasan,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, media melaporkan bahawa pihak polis telah menahan sepasang suami isteri di bazar Ramadan di Kuala Selangor semalam.
Mereka disyaki membekalkan senjata api kepada warga Israel yang ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang pada hari Rabu lepas. Berdasarkan maklumat daripada pasangan tersebut, polis telah menemukan sepucuk pistol berwarna perak dengan hulu coklat di dalam bonet kereta Honda Jazz mereka.
Sebelum ini, seorang lelaki warga Israel yang menggunakan pasport Perancis telah ditahan selepas tiba di Kuala Lumpur melalui penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pihak polis menemui enam pucuk senjata api bersama 200 butir peluru dalam bilik hotel lelaki tersebut. Senjata-senjata itu termasuk Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer, dan Stoeger, semuanya dibeli dengan mata wang kripto sebaik tiba di negara ini.
Tangkapan lelaki tersebut dikaitkan dengan rancangan untuk membunuh seorang warga Israel yang didakwa berada di negara ini berkaitan isu keluarga.
KREDIT – BERITA HARIAN
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Jangan Beri Ruang Pada Manusia Durjana Cabul Keamanan Negara – Ketua Pemuda Umno