Pemuda UMNO

 

Kuala Lumpur, 29 Mac 2024, 12:00 – SEORANG lelaki tua telah ditahan selepas disyaki mengeluarkan ancaman bunuh terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Lelaki berusia 68 tahun itu, yang juga merupakan pemilik bengkel kereta di Bukit Duyong, ditangkap selepas dia dikatakan membuat kenyataan yang menghina serta mengancam untuk membunuh Dr. Muhamad Akmal. Ini berlaku berikutan pendirian tegas Dr. Muhamad Akmal mengenai isu kalimah Allah yang dicetak pada stoking yang dijual di pasar mini KK Mart.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, memberitahu bahawa pihak polis menerima laporan daripada seorang pesara kerajaan berusia 62 tahun pada pukul 10.21 pagi.

“Pada 20 Mac yang lalu, kira-kira pukul 3 petang, ketika pengadu berada di bengkel kereta di Bukit Duyong, lelaki yang juga pemilik bengkel itu dilaporkan tidak berpuas hati dengan Dr. Muhamad Akmal berkenaan isu KK Mart.

“Suspek dikatakan telah mengancam dengan berkata, ‘Ketua Pemuda UMNO banyak cakap lebih-lebih tentang KK Mart, suatu hari nanti dia pasti akan ditembak mati.’

“Pengadu hanya berdiam diri dan tidak melayan lelaki tersebut. Tidak berpuas hati dengan ancaman itu, pengadu membuat laporan di Balai Polis Kandang pagi tadi dan juga bimbang akan keselamatan Dr. Muhamad Akmal,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Sebagai tindakan susulan, Christopher memaklumkan bahawa pihak polis telah menahan suspek di kawasan Kandang pada pukul 4 petang pada hari yang sama laporan dibuat.

“Pegawai penyiasat kini sedang mengumpul maklumat lanjut mengenai kes ini dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis atas sebab-sebab kesihatan.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Negara lemah dalam matematik, sains, kejuruteraan, AI, TVET – Anwar