Panas Tahap 1

 

Kuala Lumpur, 26 MAC 2024, 12:00 – KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan kepada semua institusi pendidikan untuk menangguhkan aktiviti luar bilik darjah sementara waktu di kawasan yang mencatatkan cuaca panas Tahap 1.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abdu Hassan, mengingatkan bahawa jika cuaca panas berterusan dan berubah kepada gelombang haba, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengambil langkah seterusnya. Ini termasuk kemungkinan menutup institusi pendidikan yang berada di bawah pengelolaan mereka.

“Jika cuaca berubah kepada gelombang haba, KPM boleh mengambil tindakan seperti yang dinyatakan dalam Pelan Tindakan Menangani Gelombang Haba 2016 dan Pelan Tindakan Pengurusan Risiko Kesihatan Gelombang Haba 2021 yang dikeluarkan oleh KKM,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk kepada status cuaca panas yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang menunjukkan Perlis mengalami gelombang haba dengan suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius sejak 19 Mac lalu.

Cuaca panas Tahap 1 turut direkodkan di sebahagian besar Kedah termasuk Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Kota Setar, Kuala Muda, Pendang, Sik, dan Baling. Beberapa kawasan di Perak seperti Hulu Perak dan Kuala Kangsar juga mengalami cuaca panas Tahap 1.

Cuaca panas Tahap 1 merujuk kepada suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius.

MetMalaysia meramalkan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius akan berterusan di kebanyakan kawasan Semenanjung Malaysia dan Sabah sehingga bulan depan.

Dr Muhammad Radzi menekankan bahawa pendedahan berpanjangan kepada cuaca panas boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan, terutamanya bagi golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, dan mereka yang menghidap penyakit kronik.

“Murid-murid sekolah merupakan antara golongan yang paling terdedah kepada risiko kesihatan akibat cuaca panas. Ini disebabkan faktor fisiologi dan kurangnya pengambilan air,” tambahnya.

Beliau menyarankan ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka mengambil air secukupnya, terutama bagi mereka yang berpuasa di bulan Ramadan. “Pastikan mereka meminum air yang mencukupi ketika bersahur dan berbuka puasa. Awasi tahap hidrasi dan kesihatan anak-anak sepanjang bulan puasa,” katanya.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Will Smith Baca Al-Quran Sepanjang Ramadan – “Ia Sangat Jelas Dan Mudah Difahami”