Kuala Lumpur, 13 MAC 2024, 12:00 – LEBUHRAYA Pesisiran Pantai Barat (WCE) telah mencapai kejayaan besar dengan siapnya jajaran terakhir di Seksyen 11, yang menghubungkan Taiping Selatan, Trong, dan Beruas.
Jajaran ini telah dirasmikan secara rasmi oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Beliau mengumumkan bahawa jajaran ini akan dibuka kepada semua kenderaan bermula jam 12.01 pagi pada hari Selasa.
Dalam majlis perasmian tersebut, Datuk Seri Alexander memaklumkan bahawa sempena pembukaan ini, pihak konsesi lebuh raya telah bersetuju untuk memberikan tol percuma bagi kedua-dua arah di jajaran tersebut selama dua bulan, sehingga 11 Mei depan.
“Berbeza dengan pembukaan lebuh raya lain yang hanya menawarkan tol percuma selama sebulan atau sedikit lebih, kali ini kita memberikan tempoh tol percuma selama dua bulan. Ini kerana bulan pertama adalah bulan Ramadan, dan selepas itu kita akan menyambut Aidilfitri yang memerlukan masa hampir sebulan. Jadi, kami ingin memastikan bahawa tempoh percuma ini benar-benar selama dua bulan dari tarikh pembukaan malam ini,” jelas beliau.
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad; dan Pengarah Urusan West Coast Expressway, Lyndon Alfred Felix.
Pembukaan Seksyen 11 yang menelan belanja RM420 juta ini dijangka akan mengurangkan masa perjalanan dari Changkat Jering ke Beruas kepada hanya 20 minit, berbanding 55 minit menggunakan laluan biasa. Lebuhraya WCE, yang keseluruhannya bernilai RM5 bilion, adalah lebuh raya antara bandar yang menghubungkan Changkat Jering di Perak ke Banting, Selangor sepanjang 314.5 kilometer.
Selain itu, Alexander juga memberitahu bahawa perjanjian konsesi untuk Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar sepanjang 60 kilometer dijangka akan ditandatangani pertengahan tahun ini.
Pembinaan WISE ini diharapkan dapat mengurangkan kesesakan yang sering berlaku di Perak, terutamanya di laluan berhampiran Terowong Menora.
Kredit — Astro Awani
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>