Kuala Lumpur, 10 MAC 2024, 12:00 – AWAS kepada semua pengguna Telegram! Jika anda menerima pesanan yang mencurigakan daripada kenalan, keluarga, atau saudara-mara anda, perlu berhati-hati kerana aplikasi ini semakin terdedah kepada jenayah penipuan yang dikenali sebagai ‘Telegram Takeover’.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Supt Hasbullah Abd Rahman, telah memaklumkan bahawa penipuan melalui penggodaman aplikasi Telegram kini semakin kerap berlaku dengan pelaku penipuan menggunakan pelbagai modus operandi (MO).
“Jika sebelum ini MO penipu ialah dengan menyamar sebagai rakan atau saudara mara yang kononnya mahu meminjam wang, namun MO mereka kini (mungkin penggodam yang sama) akan memasukkan talian pengguna ke dalam kumpulan pelaburan tidak wujud atau berkongsi link yang membawa kepada kecurian wang dalam akaun bank,” katanya ditemui Bernama di pejabatnya di sini.
Hasbullah menjelaskan melalui aduan yang diterima, terdapat kes di mana mangsa telah memindahkan wang secara dalam talian setelah menerima permintaan pinjaman melalui Telegram.
Walau bagaimanapun, apabila mereka berjumpa dengan pihak yang meminta pinjaman, ia terbukti sebagai penipuan, dan kedua-dua pihak terlibat menjadi mangsa penggodaman Telegram.
Menurut statistik, Perak mencatatkan sebanyak 54 kes penipuan sepanjang tahun 2022 hingga 2023 dengan jumlah kerugian mencapai RM134,959.01.
Hasbullah memberi amaran kepada pengguna mengenai tanda-tanda penggodaman Telegram, seperti akaun yang tidak dapat diakses, penghantaran video, mesej, atau gambar kepada kontak lain tanpa pengetahuan, permintaan perincian setiap kali log masuk akaun, dan penerimaan SMS atau notifikasi tentang akses akaun dari peranti lain.
“Jika ini berlaku, pengguna perlu set semula dengan menetapkan langkah keselamatan seperti two step verification, menggunakan kod pin atau cap jari.
“Ini kerana jika kita terus ‘uninstall‘ Telegram’ itu dari telefon pintar dan membiarkan penipu terus menggunakan akaun kita sewenang-wenangnya, mungkin ia akan memberi masalah kepada kita atau lebih ramai yang akan tertipu, langkahnya ialah terus gunakan namun ambil langkah keselamatan lebih ketat seperti disediakan aplikasi tersebut,”katanya.
Beliau berkata pengguna juga perlu log keluar jika membukanya dengan alat komunikasi lain dan tidak mendedahkan kod OTP Telegram dan reset atau nyahaktif akaun jika mengenal pasti akaun telah melakukan aktiviti mencurigakan.
Pengguna juga perlu melaporkan kepada polis jika penggodaman Telegram melibatkan wang dan nyawa, katanya.
Mengulas lanjut, selain menyamar sebagai rakan atau saudara-‘mara, penipu akan menambah nombor atau akaun Telegram mangsa ke dalam kumpulan ‘pelaburan’ untuk tujuan penipuan atau berkongsi link palsu kononnya untuk mendapatkan bantuan kerajaan dan sebagainya.
“Jangan sesekali menekan link tersebut kerana, penipu berkongsi pautan fail APK (android package kit) tidak sah bagi tujuan ‘mencuri’ wang di dalam akaun.
“Mangsa akan diminta mengemas kini maklumat peribadi di link yang telah dimuat turun, seterusnya page error akan terpapar dan duit dalam akaun bank akan lesap,” katanya sambil menasihati pengguna agar berhati-hati dengan penipuan penjualan emas secara dalam talian.
Katanya barang kemas akan diiklankan di dalam Facebook, Instagram, Telegram dengan tujuan menarik perhatian mangsa dan mangsa seterusnya akan dimasukkan dalam kumpulan Whatsap atau Telegram.
“Mangsa akan diminta memasukkan wang ke dalam akaun suspek bagi proses pembelian emas, namun mangsa tidak memerima sebarang emas yang dibeli dan suspek kemudian gagal dihubungi,” katanya menambah Perak merekodkan 199 kes tipu pembelian emas secara dalam talian dengan jumlah kerugian RM1,004,234.81 bagi tempoh 2019 sehingga 2023.
Berhati-hati dan waspada adalah kunci untuk melindungi diri daripada ancaman penipuan dalam dunia maya yang semakin canggih ini.
Kredit — BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>