MySchoolBus

 

Kuala Lumpur, 08 Mac 2024, 21:00 – DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima permohonan mencecah hampir 10,000 pelajar bagi Program MySchoolBus@Wilayah.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh, mengungkapkan bahawa jumlah permohonan ini direkodkan sejak 1 November tahun lalu untuk sesi persekolahan 2024/2025.

“DBKL telah mengedar surat tawaran kepada semua yang berjaya dan kini sedang giat menyediakan jadual trip kenderaan termasuklah penyediaan kenderaan yang akan digunakan bagi persekolahan yang dijadual bermula pada 11 Mac ini.

“Pendaftaran program ini dibuka kepada semua pelajar pada setiap tahun melibatkan golongan sasar B40 dan M40 termasuklah kategori asnaf dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM6,000 sebulan.

“Sehubungan itu, dengan kos sara hidup yang kian meningkat, saya berkeyakinan tinggi bahawa progam ini adalah alternatif terbaik dan menjadi pilihan utama kepada ibu bapa yang terdiri daripada golongan B40 dan M40,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelekat Korporat MySchoolBus @ Wilayah di Institut Latihan DBKL, sebentar tadi.

Beliau berkata pada Majlis Pelancaran Pelekat Korporat MySchoolBus @ Wilayah di Institut Latihan DBKL, turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustaffa, dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Indera Norida Abdul Rahim.

Pelekat korporat baharu ditempel di 221 kenderaan, termasuk bas besar, bas sederhana, dan van, memberikan tampilan yang lebih elegan, menarik, dan berkualiti tinggi, mencerminkan Wilayah Persekutuan sebagai negeri yang harmoni, berdaya saing, dan bertaraf dunia.

Mengulas lanjut mengenai program, Kamarulzaman berkata program ini memanfaatkan pelajar-pelajar di kawasan Perumahan Awam DBKL, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Swasta Kos Rendah.

“Ia juga merangkumi pelajar dari Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di sekolah-sekolah pendidikan khas seluruh Kuala Lumpur.

“Bayaran tambang bas sekolah disediakan oleh DBKL sebanyak RM100 bagi seorang pelajar dan dibayar terus kepada pengendali bas sekolah yang dilantik.

“Secara tidak langsung, program ini juga telah membantu pengusaha bas yang selama ini berdepan dengan situasi kos operasi penyelenggaran yang tinggi,” katanya.

Jelasnya, sebanyak RM13 juta hingga RM15 juta diperuntukkan setiap tahun bagi membiayai program tersebut dengan membabitkan kos RM100 untuk setiap pelajar bagi setiap bulan.

Dalam pada itu, Kamarulzaman berkata DBKL akan terus berusaha mempromosikan apa jua produk dan program yang dihasilkan agar ia sentiasa menjadi acara relevan dan memberi impak kepada warga Kuala Lumpur.

“Selain itu, DBKL juga tampil dengan penyediaan Garis Panduan Perkhidmatan Bas Sekolah Percuma MySchoolBus @ Wilayah yang baharu disiapkan pada Januari lalu.

“Saya berharap dengan adanya garis panduan baharu ini, segala objektif dapat dicapai bagi meningkatkan operasi serta kualiti perkhidmatan bas sekolah,” jelasnya.

Untuk rekod, Program MySchoolBus @ Wilayah merupakan inisiatif Pembasmian Miskin Bandar yang telah bermula sejak tahun 2017 dan permintaan terhadap program ini amat memberangsangkan melalui peningkatan permohonan yang diterima setiap tahun.

Program ini pada asalnya dikenali sebagai Program Bantuan Bas Sekolah Percuma telah dijenamakan semula dengan tema yang baharu iaitu Program Usaha Jaya Insan (PUJI) di bawah elemen IHSAN @ PUJI.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Lelaki 45 tahun ada lebih RM1 juta KWSP cetus inspirasi