Kuala Lumpur, 28 Februari 2024, 12:00 – SKIM Perubatan Madani, yang telah dilancarkan sebagai program perintis sejak 15 Jun 2023, akan mengalami perubahan signifikan mulai 26 Februari 2024.
Perubahan ini bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan, kemampanan, dan memaksimumkan impak skim tersebut. Skim ini akan terus beroperasi, namun hanya akan tertumpu kepada 10 daerah terpilih serta penerima tertentu.
10 daerah itu ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Langat, Petaling Jaya, Klang, Johor Bahru, Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).
ProtectHealth Corporation (ProtectHealth) telah mengumumkan bahawa klinik swasta di luar kawasan-kawasan yang ditetapkan akan diberi masa sehingga Khamis ini untuk mengemukakan tuntutan tertunggak bagi pesakit yang sebelum ini telah dirawat di bawah Skim Perubatan Madani.
“Skim ini dilancarkan sebagai program perintis sejak 15 Jun 2023 dengan objektifnya untuk mengurangkan kesesakan pesakit di Jabatan Pesakit Luar dan Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di kawasan bandar.
“Pada masa ini, ia masih lagi dalam fasa penambahbaikan penyampaian dan pelaksanaan. Berdasarkan pemerhatian, kesesakan di fasiliti KKM di bawah fasa perintis skim ini adalah bertambah baik.
“Berkuat kuasa 26 Februari 2024, skim ini diperhalusi dan perubahan utama ialah kawasan-kawasan pelaksanaan yang hanya akan tertumpu kepada 10 daerah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum perubahan ini, beberapa klinik swasta yang sebelum ini menyertai Skim Perubatan Madani telah mengeluarkan notis penghentian melalui media sosial masing-masing. Penamatan kemudahan untuk golongan berpendapatan rendah ini telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai.
ProtectHealth menjelaskan bahawa langkah tersebut adalah penting untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan skim dengan memfokuskan sumber pada kawasan dan penerima tertentu. Kawasan-kawasan tersebut dipilih berdasarkan keperluan pesakit serta kepadatan populasi.
“Klinik swasta yang aktif di 10 daerah yang ditetapkan, boleh terus menyediakan perkhidmatan skim ini dan pesakit boleh menggunakan kemudahan ini sehingga peruntukan skim digunakan sepenuhnya.
“ProtectHealth komited untuk meningkatkan akses dan kualiti penjagaan kesihatan bagi mereka yang memerlukan dan komited untuk mengekalkan kerjasama dengan Pengamal Perubatan Swasta (GP) dalam semua Perkongsian Awam dan Swasta (PPP) di masa hadapan,” ujar syarikat itu.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Tol Kl Boleh Runding Semula Bila Kewangan Negara Kukuh – Anwar