Ahli Parlimen

 

Kuala Lumpur, 26 Februari 2024, 12:00 – PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengingatkan semua Ahli Parlimen kerajaan untuk menjaga tatasusila dan kualiti perbahasan mereka sepanjang persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.

Melalui hantaran di laman Facebook, Perdana Menteri menegaskan amaran tersebut ketika menghadiri sesi taklimat prapersidangan Dewan Rakyat bersama barisan Jemaah Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri, dan seluruh Ahli Parlimen Kerajaan Madani di Putrajaya.

“Dalam amanat, saya tegaskan supaya semua Ahli Parlimen kerajaan memastikan kualiti perbahasan dan menjaga tatasusila sepanjang persidangan Dewan Rakyat berlangsung hingga 27 Mac depan.

“Ahli-Ahli Parlimen turut diberi taklimat berkaitan perjalanan Parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said,” katanya sambil menambah persidangan kali ini juga akan menjadi ruang kepada semua Ahli Parlimen menyentuh pelbagai isu semasa yang mendesak terutama membabitkan kepentingan rakyat.

Pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, tumpuan utama adalah kepada titah sulung Sultan Ibrahim Sultan Iskandar setelah baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari lepas.

Menurut takwim rasmi Parlimen, persidangan kali ini dijangka berlangsung selama 19 hari, dengan fokus utama pada perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-Ahli Parlimen dari 27 Februari hingga 7 Mac, diikuti dengan jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.

Persidangan akan diteruskan dengan pembentangan rang undang-undang seterusnya, menandakan satu jadual persidangan yang padat dengan pelbagai isu penting yang akan dibincangkan demi kepentingan negara dan rakyat.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Burasak, Mi Kolok, Nasi Ambeng Diwarta Makanan Warisan Negara