Kuala Lumpur, 15 Februari 2024, 16:00 – BEKAS penasihat undang-undang 1MDB, Jasmine Loo, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Jho Low, atau Low Taek Jho, mendakwa mempunyai bukti yang menunjukkan tindak tanduknya dilakukan atas arahan dan pengetahuan Najib Razak, bekas perdana menteri Malaysia.
Pengakuan mengejutkan ini muncul semasa perbicaraan kes rasuah yang melibatkan dana RM2.27 bilion dari 1MDB terhadap Najib Razak. Jasmine Loo menjelaskan bahawa Low membuat dakwaan tersebut kepada beliau berdasarkan laporan media yang melaporkan kemasukan dana besar ke akaun bank Najib antara tahun 2015 dan 2016.
Menurut Loo, selepas membaca artikel media dan laporan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, beliau menghubungi Jho Low untuk mendapatkan penjelasan mengenai aliran wang yang besar ke akaun bekas perdana menteri.
Saksi pendakwaan ke-50 itu yang pernah berada dalam lingkaran kenalan Jho Low mendakwa ahli perniagaan itu memberitahunya bahawa wang berkenaan adalah dana politik untuk BN, khususnya Umno.
“Selepas saya mendesak dan bertanya kepada Jho Low berhubung urus niaga itu, Jho Low meminta saya jangan risau dan dia akan uruskan dan saya tidak perlu ambil sebarang tindakan, kerana dia akan uruskan semuanya.
“Jho Low juga berkata sekiranya apa-apa berlaku kepadanya, dia mempunyai bukti untuk menunjukkan bahawa apa yang dia lakukan adalah atas permintaan, hasrat dan pengetahuan Najib Razak,” katanya di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah.
Pada peringkat perbicaraan kes rasuah melibatkan dana RM2.27 bilion 1MDB terhadap Najib, peguam bela utama tertuduh, Muhammad Shafee Abdullah membangkitkan bantahan terhadap keterangan Loo, atas alasan dengar cakap.
Di bawah undang-undang, keterangan dengar cakap merujuk kepada keterangan berdasarkan apa yang didengar oleh saksi daripada orang lain dan bukannya berdasarkan pengetahuan atau pengalaman peribadi secara langsung.
Sequerah kemudian mencatatkan bantahan pasukan pembelaan, dan Loo meneruskan dengan membacakan kenyataan saksi bertulisnya.
Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Najib Razak kini menghadapi empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan dengan dana RM2.27 bilion dari 1MDB. Kes ini membawa pengadilan ke dalam episod baru yang mencengangkan dalam sejarah politik Malaysia.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>