syariah
Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman (kanan) bersama ibunya, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid (kiri), ketika sidang media di Himpunan Selamatkan Syariah anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) di Perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya.

 

Kuala Lumpur, 10 Februari 2024, 21:00 – MAHKAMAH Persekutuan hari ini mengeluarkan keputusan yang signifikan dengan mengisytiharkan bahawa 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan ini dibuat oleh panel lapan hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, selepas mempertimbangkan petisyen yang dikemukakan oleh seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Walau bagaimanapun, panel memutuskan bahawa dua peruntukan kesalahan syariah adalah sah. Keputusan ini dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1, dengan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, membuat keputusan berbeza.

Kedua-dua pempetisyen memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya.

Panel hakim yang terlibat termasuk Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah, dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Panel juga dianggotai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan, dan Datuk Abu Bakar Jais.

Nik Elin dan anaknya, sebagai pempetisyen, diwakili oleh peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, sementara Kerajaan Negeri Kelantan, sebagai responden tunggal, diwakili oleh peguam Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif.

Berikut adalah senarai enakmen yang batal

16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang diisytiharkan Mahkamah Persekutuan sebagai batal dan tidak sah

Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat

Seksyen 14: Liwat

Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat

Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia

Seksyen 31: Gangguan seksual

Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu

Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan

Bahagian 39: Mengurangkan skala, ukuran dan berat

Seksyen 40: Melaksanakan transaksi yang bertentangan dengan ‘hukum syarak’ (undang-undang syariah)

Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga melalui riba

Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal

Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan

Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram

Seksyen 48: Muncikari (lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, bertentangan dengan hukum syarak)

Yang diisytiharkan sah

Seksyen 13: Menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral

Seksyen 30: Perkataan yang boleh memecahkan keamanan

Pada 22 Mei 2022, peguam terbabit Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bertindak melangkaui bidang kuasa.

Selain itu, mereka turut memohon mahkamah untuk mengisytiharkan bahawa DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang hanya terpakai kepada orang Islam saja.

Petisyen yang dibawa ke mahkamah ini telah menimbulkan kontroversi dan mendapat perhatian meluas, terutama dari kalangan badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang menyuarakan pendirian mereka.

Pada awal November tahun lalu, lebih daripada 300 NGO Islam menyerahkan memorandum kepada wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) di Parlimen. Memorandum tersebut mengecam dan mendesak pindaan Perlembagaan dengan segera bagi mengelakkan peruntukan jenayah syariah di negara ini dari dicabar atau malah berisiko dibatalkan.

NGO-NGO tersebut turut menyeru kepada kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa khas guna menyelesaikan kemelut yang dikatakan timbul akibat tekanan terhadap bidang kuasa DUN dalam menggubal peruntukan berkaitan dengan kesalahan jenayah syariah bagi orang Islam.

Tengku Maimun berkata, melalui Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan menggariskan perkara-yang Parlimen boleh membuat undang-undang dan perkara yang Badan Perundangan Negeri boleh membuat undang-undang.

Kuasa perundangan Persekutuan dan Negeri ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan di dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Negeri, dan Parlimen mahu pun Badan Perundangan Negeri tidak boleh membuat undang-undang melangkaui senarai masing-masing.

Berhubung 18 peruntukan yang dicabar, Tengku Maimun berkata, prinsip undang-undang adalah mantap bahawa untuk menentukan sama ada undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Badan Perundangan Negeri adalah sah dan termasuk dalam batasan kuasa perundangan masing-masing, ujian yang terpakai adalah inti pati peruntukan tersebut.

Menurut Tengku Maimun, jika dari segi inti patinya, peruntukan dibuat Badan Perundangan Negeri itu adalah perkara yang termasuk di dalam Senarai Persekutuan, maka Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang berkenaan.

Beliau berkata, ujiannya bukanlah dengan membandingkan peruntukan yang dicabar itu dengan peruntukan sedia ada dalam undang-undang Persekutuan untuk menentukan sama ada terdapat ciri-ciri perbezaan pada kedua-duanya.

Selepas meneliti hujahan, mahkamah memutuskan Seksyen 13 dan Seksyen 30 adalah sah kerana ia berkenaan perkara yang Badan Perundangan Negeri Kelantan mempunyai kuasa untuk membuatnya, manakala seksyen lain yang dicabar adalah tidak sah kerana intipati peruntukan itu berhubung perkara di bawah Senarai Persekutuan yang mana hanya Parlimen mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Seksyen 13 adalah berhubung kesalahan menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral manakala Seksyen 30 membabitkan perkataan yang boleh memecahkan keamanan.

“Intipati seksyen 13 adalah berkenaan penjagaan dan untuk mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan dalam kalangan orang yang menganut agama Islam, yang termasuk di bawah Butiran 1 Senarai Negeri.

“Ia juga berkaitan dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa negeri-negeri boleh membuat undang-undang bagi tujuan mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganut agama Islam.

“Demikian juga inti pati seksyen 30 adalah untuk mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganut agama Islam, bukannya untuk semata-mata memecah keamanan.

“Justeru, kami membenarkan permohonan pempetisyen untuk suatu deklarasi bahawa seksyen 11, 14, 16, 17, 31, 34, 36, 37(1)(b), 39, 40, 41, 42, 43, 44, 45, 47 dan 48 Enakmen 2019 adalah batal dan tidak sah atas alasan Badan Perundangan Negeri Kelantan membuat undang-undang berkenaan hal perkara yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya,” katanya.

Tengku Maimun berkata, selaras Seksyen 83 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>