Ops Lancar

 

Kuala Lumpur, 07 Februari 2024, 16:00 – POLIS Selangor telah melaksanakan Op Lancar di lima daerah di Selangor sebagai sebahagian daripada Op Selamat 21, yang bermula pada hari Khamis dan berlangsung sehingga 13 Februari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, menyatakan bahawa kesesakan lalu lintas telah direkodkan di beberapa kawasan sempena musim perayaan ini.

Daerah yang terlibat dalam operasi ini termasuk Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Serdang, dan Klang Utara. Kawasan yang menjadi fokus termasuk Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di Plaza Tol Gombak, Jalan Kuala-Ipoh di Kilometer 30, Jalan Klang-Teluk Intan, Pekan Kuala Selangor ke Tanjung Karang, dan Jalan Kuala Selangor-Rawang (lampu isyarat susur Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor).

Menurutnya, selain itu Jalan Kuala Lumpur-Ipoh (lampu isyarat di Batang Kali) dan Klang -Teluk Intan di Pekan Kapar serta di Plaza Tol Sungai Besi di Serdang.

Hussein Omar Khan menjelaskan bahawa sebanyak 11 operasi perangkap had laju dan lima lokasi Operasi Lancar akan dilaksanakan dengan kehadiran 61 pegawai kanan dan 432 anggota polis selama enam hari bagi memastikan kelancaran lalu lintas.

Beliau menekankan bahawa pengguna jalan raya perlu memastikan kenderaan dalam keadaan baik, mematuhi peraturan lalu lintas, dan tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

“Operasi ini melibatkan semua elemen dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk unit dron dan helikopter, bersama dengan 42 kereta dan 89 motosikal yang akan digunakan untuk memantau kesesakan lalu lintas,” katanya semasa sidang media di Plaza Tol Puchong Selatan, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

Beliau turut merasmikan Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina 2024 dalam majlis tersebut. Hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR), Sazally Saidi.

Hussein mengingatkan orang ramai untuk menyampaikan maklumat mengenai kemalangan dan kecemasan kepada bilik gerakan Trafik Bukit Aman melalui talian 03-22663356, hotline bilik gerakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor di 03-55100559, atau hotline CCC Selangor di 03-55145206.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>