
Kuala Lumpur, 06 Februari 2024, 21:00 – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, telah mengingatkan pempengaruh media sosial untuk mengambil tanggungjawab dan berhati-hati dalam pengendalian podcast serta kandungan yang dimuat naik, bagi mengelakkan kesan negatif terhadap masyarakat.
Beliau menyatakan bahawa kerajaan juga akan menjalankan pemantauan secara berkala dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap individu yang menghasilkan kandungan yang kurang membina.
“Waktu ini kita belum lagi melihat ada keperluan (untuk tindakan). Saya setuju dengan saudara Khairy Jamaluddin, kepada pempengaruh perlu faham apa kuasa pengaruh kita.
“Kita harap industri dapat kawal secara kendiri tetapi sekiranya keadaan bertambah serius kita perlu meneliti tindakan yang perlu diambil,” katanya selepas melancarkan Youth Empowerment Fair (YEF2024) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Fahmi mengulas mengenai tindakan sebahagian pempengaruh yang menghasilkan kandungan yang merosakkan yang boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat.
Sebelum ini, penyampai radio Hot FM dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, telah menasihati pengendali podcast untuk lebih peka terhadap isu-isu sensitif dan membuat kajian terlebih dahulu sebelum membincangkan topik tertentu.
Fahmi juga menyeru ibu bapa untuk memantau kandungan media sosial yang diakses oleh anak-anak mereka agar tidak terpengaruh.
“Di kawasan saya, Lembah Pantai, saya meminta guru besar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk memberi amaran kepada ibu bapa dan kanak-kanak sekolah rendah agar berhati-hati terhadap kandungan media sosial termasuk podcast dan platform TikTok, supaya mereka tidak terpengaruh.
“Insya-Allah, kita akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan beberapa tindakan kerjasama,” katanya.
Fahmi turut mengumumkan bahawa beliau akan mengadakan mesyuarat bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo, untuk membincangkan penubuhan jawatankuasa teknikal berkaitan keselamatan dalam talian, terutamanya di kalangan kanak-kanak.
Menurut Fahmi, keselamatan kanak-kanak menjadi keutamaan kerajaan, dan satu daripada fokus utama adalah memastikan pematuhan kepada undang-undang yang sedia ada melalui media sosial.
“Insya-Allah, dalam masa terdekat, kita akan berkoordinasi dengan beberapa kementerian untuk menilai perubahan perundangan yang diperlukan serta tindakan-tindakan yang perlu diambil sekarang,” katanya.
Pada masa yang sama, Fahmi menyatakan bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan wakil dari TikTok dan beberapa pengendali media sosial lain selepas perayaan Tahun Baharu Cina untuk membincangkan isu keselamatan kanak-kanak dalam talian.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
KWSP Umum Benarkan Ahli Guna Akaun 2 Beli Insurans Untuk Ahli Keluarga