Kuala Lumpur, 05 Februari 2024, 12:00 – PARA pakar perubatan meramalkan bahawa kes kanser di Malaysia akan meningkat dua kali ganda menjelang tahun 2040. Menurut laporan Globocan, pada tahun 2020, terdapat 48,639 kes kanser baharu dan 29,530 kematian disebabkan kanser di negara kita.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, telah menyatakan bahawa antara lima jenis kanser yang paling lazim di Malaysia adalah kanser payudara, kanser kolorektal, kanser paru-paru, kanser nasofaring, dan kanser hati.
“Kanser hati primer yang bermula dari dalam hati itu sendiri, malangnya ia mempunyai salah satu prognosis yang paling teruk kerana sering didiagnosis pada peringkat lewat apabila gejala telah muncul.
Dr Dzulkefly Ahmad berkata bahawa kanser hati global telah melonjak, didorong oleh wabak obesiti dan diabetes. Penyebab utama untuk kanser hati primer di seluruh dunia, termasuk Malaysia, adalah Hepatitis B, menyumbang kepada 44% kes kanser hati. Penyakit hati berlemak mendekati jumlah tersebut dengan 42% kes.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Hari Kesedaran Kanser Hati sempena Hari Kanser Sedunia 2024 di Bandar Tun Razak. Hari Kesedaran Kanser Hati ini dianjurkan oleh Fakulti Perubatan UKM, bekerjasama dengan Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Akademi Perubatan Malaysia (AMM).
Dr Dzulkefly Ahmad juga merujuk kepada laporan terkini World Obesity Atlas 2023, yang menunjukkan bahawa Malaysia dijangka mengalami peningkatan tinggi dalam kadar obesiti dewasa dan kanak-kanak.
Beliau menekankan bahawa ini mungkin memberi kesan ekonomi yang serius kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, dianggarkan mencapai 2.8% atau RM94.4 juta menjelang tahun 2035.
Dalam konteks ini, beliau meyatakan kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan terkini yang melaporkan prevalensi berat badan berlebihan dan obesiti pada 50% dewasa dan 30% kanak-kanak, dengan jangkaan peningkatan setiap tahun.
Obesiti dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit hati berlemak atau Metabolic Dysfunction Associated Fatty Liver Disease (MAFLD), yang kini menjadi punca utama kanser hati.
Dr Dzulkefly Ahmad menekankan perlunya pencegahan, baik melalui imunisasi Hepatitis B atau rawatan awal penyakit hati pada pesakit yang diketahui mengidap hepatitis atau sirosis.
Beliau mengingatkan kita bahawa, meskipun jumlah kes kanser meningkat, kita sebagai komuniti harus memahami apa itu kanser, dan yang lebih penting, menghilangkan stigma di sebalik perkataan ‘kanser’. Dengan kesedaran dan tindakan yang betul, kita mampu mengurangkan beban kanser di Malaysia.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>