Kuala Lumpur, 03 Februari 2024, 21:00 – MENJELANG sambutan perayaan Tahun Baru Cina pada 10 Februari 2024, Kerajaan akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2024 yang akan berkuat kuasa bermula pada 6 Februari hingga 14 Februari 2024.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tempoh pelaksanaan adalah selama sembilan hari iaitu empat hari sebelum hari perayaan, sehari pada hari perayaan dan empat hari lagi selepas hari perayaan.
Sebanyak 11 jenis barangan akan diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2024. Senarai barangan adalah seperti berikut:
i. Udang putih (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram);
ii. Ikan bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor);
iii. Babi hidup;
iv. Daging babi (perut);
v. Daging babi (daging dan lemak);
vi. Kobis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing);
vii. Ubi kentang import (China);
viii. Bawang putih;
ix. Halia tua import;
x. Lobak putih import; dan
xi. Lobak merah.
“Kita akan membuat pemantauan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli belah selain berharap bantuan orang awam menyalurkan maklumat berkaitan ketidakpatuhan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
“Peniaga perlu meletakkan tanda harga berwarna merah jambu untuk memastikan rakyat dapat mengetahui bahawa itulah barang yang ditetapkan harga maksimum iaitu barang yang dijual tidak melebihi harga yang ditetapkan KPDN melalui skim tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan pelaksanaan skim harga maksimum sempena musim perayaan Tahun Baru Cina 2024 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cheng Hwa, di sini pada Jumaat.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melaksanakan pemantauan berterusan untuk memastikan keberadaan bekalan barangan adalah mencukupi. Semakan harga boleh dibuat melalui laman sesawang KPDN di https://www.kpdn.gov.my.
Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa KPDN di seluruh negara akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.
Pendekatan ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
Sehubungan itu, seramai 2,200 penguat kuasa KPDN di seluruh negara dikerahkan untuk membuat pemantauan dan terdapat 900 lagi pegawai pemantau harga turut melakukan pemeriksaan harga sempena pelaksnaaan skim harga maksimum musim perayaan tersebut.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, selain daripada penetapan harga skim harga maksimum itu, pihak KPDN turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang musim perayaan ini.
“Melalui perbincangan kita dengan KPKM, kita juga mendapat maklum balas bahawa bekalan barang keperluan rakyat yang khususnya mendapat permintaan tinggi sepanjang tempoh perayaan ini adalah mencukupi termasuk minyak dan gula.
“Bagaimanapun, pihak kita akan terus bekerjasama dengan KPKM untuk memastikan bekalan mencukupi. Malah kementerian tersebut juga telah membuat perancangan awal bagi setiap musim perayaan untuk memastikan bekalan mencukupi,” katanya.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mana mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:
(i) Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:
(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan (b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000; (
ii) Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal:
(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; dan
(b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>