Tenaga

 

Kuala Lumpur, 28 Januari 2024, 12:00 – PELAKSANAAN program Tenaga Bersih Bersepadu (TBB) bagi tahun 2024 dijangka menjadi pemacu utama dalam menyokong inisiatif peralihan tenaga dan pengurangan jejak karbon yang menjadi fokus utama negara. Program ini dianggap sebagai langkah penting dalam menjana limpahan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan baru.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, pelaksanaan program TBB dijangka membawa nilai pelaburan langsung sebanyak RM12 bilion ke dalam industri TBB. Lebih daripada itu, program ini dijangka mewujudkan sekurang-kurangnya 36,000 peluang pekerjaan kepada rakyat, memberi dorongan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Hari Tenaga Bersih Antarabangsa (HTBA), yang diraikan pada 26 Januari, memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran global mengenai keperluan untuk bergerak ke arah tenaga yang mampan dan inklusif. Penganjuran HTBA adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mapan Ke-7 (SDG-7), yang bertujuan untuk memastikan akses kepada bekalan tenaga yang mampu bayar, boleh dipercayai, mapan, dan moden.

SDG Ke-7 bertujuan memastikan akses kepada bekalan tenaga yang mampu bayar, boleh dipercayai, mapan dan moden. Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam memimpin usaha negara dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mapan atau Sustainable Development Goal (SDG) Ke-7 berkaitan bekalan elektrik.

“Kami akan pastikan peralihan tenaga berdasarkan prinsip kesaksamaan, ketelusan, inklusiviti, dan daya saing. Komitmen kami termasuk mengurangkan jejak karbon dengan meningkatkan sumber TBB kepada 70 peratus pada 2050 dari hanya 25 peratus pada masa kini.

“Peningkatan ini akan diurus secara menyeluruh, memberi keutamaan kepada kebolehpercayaan sistem bekalan, keterjangkauan pengguna dan kelestarian sumber,” ujarnya.

Berdasarkan pertimbangan yang teliti ke atas faktor-faktor keupayaan sistem grid, permintaan bekalan elektrik hijau, nilai limpahan ekonomi serta kesanggupan membayar oleh pengguna, kerajaan akan melaksanakan inisiatif dan program TBB bagi tahun 2024.

Ia melibatkan Program Net Energy Metering (NEM) diteruskan dengan tawaran kuota tambahan sebanyak 100MW untuk NEM Rakyat dan 300MW untuk NEM NOVA. Tempoh tawaran kuota ditetapkan sehingga Disember 2024 atau sehingga semua kuota habis diagihkan yang mana terdahulu.

Kuota tambahan boleh dimohon mulai 5 Februari 2024 melalui sistem eNEM di laman sesawang SEDA Malaysia (www.seda.gov.my).

Program ini akan membolehkan sekurang-kurangnya 25,000 pengguna elektrik domestik dan 100 pengguna kategori komersil dan industri memanfaatkan ruang bumbung di premis bangunan masing-masing untuk penjanaan bekalan elektrik bagi kegunaan sendiri melalui pemasangan sistem solar PV.

Selain itu, Program Large Scale Solar (LSS) untuk pembangunan loji jana kuasa solar dengan tawaran kuota 2,000MW akan dibuka mulai 1 April 2024. Ini akan memberi peluang kepada pemaju untuk terlibat dalam pembangunan loji jana kuasa solar dan turut memacu pertumbuhan industri Tenaga Bersih Bersepadu.

Beberapa pembaharuan akan dilakukan bagi meningkatkan keberhasilan program ini termasuk mewujudkan kategori khas bagi pembangunan loji jana kuasa solar terapung dengan jumlah kuota 500MW dan peningkatan had penyertaan sebuah syarikat sehingga 500MW.

Pelaksanaan program LSS akan dibuat secara bidaan serta pada skala yang lebih besar bagi memastikan proses pemilihan pemaju secara telus dan adil serta untuk mendapatkan tawaran tarif penjanaan tenaga pada kadar yang paling kompetitif.

Kementerian juga mengumumkan Program Penjanaan Tenaga Rendah Karbon melalui mekanisme New Enhanced Dispatched Arrangement (NEDA) dengan jumlah kuota 400MW. Program ini membuka peluang kepada pembangunan projek penjanaan daripada sumber bukan solar seperti sumber angin, hidro kecil, biogas, biojisim, hidrogen, dan lain-lain.

Penyertaannya adalah berdasarkan prinsip first come, first served dan permohonan boleh dikemukakan mulai 5 Februari 2024 melalui laman sesawang Single Buyer di www.singlebuyer.com.my.

Pelaksanaan program ini mampu meningkatkan daya harap bekalan elektrik dengan mempelbagaikan sumber penjanaan TBB serta akan membuka bidang ekonomi baharu kepada pemaju untuk membangunkan loji jana kuasa berdasarkan sumber bukan solar dan Projek Rintis Sistem Penstoran Tenaga (Battery Energy Storage System- BESS) dengan jumlah kapasiti 400MWj akan dimulakan pada suku tahun pertama 2024.

Projek rintis ini akan dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dioperasikan oleh Grid System Operator (GSO) dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga.

Pelaksanaan projek rintis BESS ini akan menyokong aspirasi peralihan tenaga negara melalui pengukuhan sistem rangkaian grid bekalan elektrik.

Dengan pelaksanaan program ini, Malaysia mengejar matlamat untuk menjadi negara yang lebih lestari, mengurangkan jejak karbon, dan mencapai kestabilan bekalan elektrik yang berdaya maju. Pihak kerajaan akan terus memantau dan menyelaraskan program ini mengikut perkembangan semasa dan keperluan masyarakat dalam memastikan kejayaan serta kesejahteraan jangka panjang negara.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Kebakaran: Lelaki Maut Lepas Selamatkan Tujuh Sekeluarga