Kuala Lumpur, 28 Januari 2024, 21:00 – JURI tentera di Guantanamo Bay pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara tambahan lima tahun ke atas dua rakyat Malaysia kerana bersubahat dalam pengeboman pengganas yang mengorbankan 202 orang di Bali, Indonesia pada 2002.
Juri lima pegawai tentera Amerika Syarikat (AS) itu bersidang untuk memutuskan hukuman untuk tempoh 20 hingga 25 tahun.
Selepas bersidang selama kira-kira dua jam pada Jumaat, mereka memutuskan hukuman penjara 23 tahun, lapor pewarta New York Times di Teluk Guantanamo. Perjanjian tawar-menawar rayuan yang dicapai dengan kedua-dua mereka sebelum itu telah membantu mengelak perbicaraan yang panjang dan mengurangkan hukuman penjara kepada kira-kira lima tahun daripada 23 tahun yang disyorkan oleh juri.
Hakim tentera AS Leftenan Kolonel Wesley A Braun memutuskan mereka boleh dibebaskan dalam tempoh lima tahun selepas mengurangkan 311 hari daripada hukuman Mohammed Farik dan 379 hari bagi Mohammed Nasir berikutan pendakwa terlepas tarikh akhir mahkamah untuk menyerahkan bukti kepada peguam bela ketika menyediakan kes itu.
Kedua-dua lelaki yang kini ditahan di Guantanamo, mengaku bersalah bersubahat dalam dua pengeboman di pulau peranginan Bali dalam langkah tawar-menawar rayuan itu.
Laporan itu memetik peguam Mohammed Nazir, Brian Bouffard sebagai berkata: “Perjanjian pra perbicaraan mempertimbang kemungkinan penghantaran pulang beliau sebelum hukuman selesai.”
Beliau berkata, apabila balik ke Malaysia, mereka akan menjalani program deradikalisasi yang dikendalikan kerajaan Malaysia dan pemantauan seumur hidup oleh pihak berkuasa keselamatan negara.
“Saya dan keluarga sedih dan reda dengan keputusan mahkamah,” luah Najib Lep, 60, selepas mengetahui adiknya, Mohammed Nazir, 48, boleh dibebaskan menjelang 2029 selepas juri tentera di Guantanamo Bay memutuskan hukuman pada Jumaat.
Najib berkata, doa ahli keluarga terhadap pembebasan Mohammed Nazir atau dikenali Nazir Lep yang merupakan salah seorang rakyat Malaysia yang ditahan kira-kira 20 tahun di Pusat Tahanan Teluk Guantanamo di Cuba tidak pernah terhenti dan keputusan mahkamah pada Jumaat merupakan hasil usaha semua pihak dan Kerajaan Malaysia.
Dalam masa sama, harapan masih disandarkan agar adiknya dan seorang lagi rakyat Malaysia, Mohammed Farik Amin dapat menjalani hukuman di Malaysia dengan perbincangan masih dilakukan.
“Mengenai ekstradisi ke Malaysia, saya tidak boleh jawab persoalan itu, tetapi saya dan keluarga sememangnya mengharapkan agar adik dapat jalani hukuman di negara ini. Kita masih berurusan dengan pihak di sana agar adik dapat dibawa pulang.
“Dalam hal ini, semua memainkan peranan terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN). Apa pun kita perlu tunggu kerana ada proses-proses yang perlu dilalui,” katanya
Mereka didakwa bersama Encep Nurjaman warga Indonesia, juga dikenali sebagai Hambali.
Pada Oktober lalu, The New York Times melaporkan Mohammed Farik dan Mohammed Nazir mencapai persetujuan dengan pendakwa raya di Teluk Guantanamo untuk tuduhan bersubahat dalam serangan pengganas di Bali, dan dengan itu memisahkan mereka daripada kes Hambali.
Dalam pengakuan bersalah, Mohammed Farik dan Mohammed Nazir bersetuju untuk memberi keterangan terhadap Hambali, bekas pemimpin gerakan Jemaah Islamiyah dan merupakan dalang di sebalik pengeboman maut Bali.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>