Kuala Lumpur, 25 Januari 2024, 16:00 – LELAKI Islam yang menggoda isteri orang di Sabah boleh dikenakan tindakan di bawah enakmen Mahkamah Anak Negeri (MAN) Sabah. Malah denda yang dikenakan kepada pesalah lebih besar di bawah enakmen MAN Sabah jika melibatkan perbuatan seorang lelaki memikat isteri orang.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif menjelaskan bahawa Sabah juga mempunyai enakmen di bawah Mahkamah Syariah Sabah.
“Terdapat peruntukan undang-undang yang mengawal perbuatan gangguan orang ketiga terhadap rumah tangga di dalam Islam termasuklah seksyen 36, seksyen 37 dan seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.
“Berdasarkan kepada peruntukan undang-undang di negeri-negeri, kesalahan mengganggu rumah tangga orang terbahagi kepada tiga komponen iaitu memujuk lari perempuan bersuami, menghalang pasangan suami isteri untuk hidup bersama serta menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.
“Namun ketiga-tiga peruntukan yang terdapat dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan ini tidak diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995.
“Kesemua kesalahan terbabit di Sabah dirangkumkan dalam satu seksyen ini sahaja.
“Malah undang-undang dalam enakmen MAN Sabah lebih besar dari segi dendanya iaitu tiga ekor ternakan dan jika tidak mematuhi boleh dikenakan 18 bulan penjara atau denda sebanyak RM3,000,” katanya.
Jelas beliau lagi, kes gangguan rumah tangga membabitkan orang ketiga bagi mereka yang beragama Islam juga boleh dikenakan hukuman tersebut berdasarkan adat di Sabah di bawah enakmen MAN.
“Bagaimanapun, setakat ini belum ada kes berkenaan berlaku termasuk di Mahkamah Syariah dan mudah-mudahan ia tidak akan berlaku,” katanya.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai cadangan mewujudkan enakmen baharu, Mohd Ariffin memaklumkan, ia akan dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini juga.
“Insya-Allah dalam Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Negeri Sabah (JAKTUS) ini akan menyusun bersama-sama mengenai enakmen ini dan ia dipengerusikan oleh Peguam Besar Negeri Sabah, mudah-mudahan apabila selesai kita boleh bawa ke DUN Sabah.
“Kita jangka pertengahan sidang DUN satu atau dua Rang Undang-Undang (RUU) kita bentangkan dan selebihnya kita akan bincangkan selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengwujudan tiga enakmen baharu iaitu Enakmen Mahkamah Syariah 2024, Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024 dan Enakmen Perwarisan Harta Pusaka Orang Islam 2024 yang dibentangkan Ketua Hakim Syarie Sabah, Ahadin Arinen.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>