Bella

 

Kuala Lumpur, 21 Januari 2024, 16:00 – TIGA individu telah direman selepas penemuan rangka manusia tidak sempurna dalam sebuah rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, mengesahkan bahawa perintah reman telah dikeluarkan terhadap ketiga-tiga lelaki tersebut sehingga 27 Januari ini.

Beliau menjelaskan bahawa tindakan reman diambil bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Lelaki yang direman itu, berusia antara 24 hingga 39 tahun, termasuk teman lelaki dan bapa saudara mangsa, kerana dipercayai ada kaitan dengan penemuan rangka yang masih belum dikenal pasti identitinya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat turut memberitahu bahawa bedah siasat ke atas rangka manusia tersebut telah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Sampel patologi dari Jabatan Forensik HSI juga telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti si mati.

Polis akan memohon kepada Jabatan Kimia untuk mempercepatkan keputusan proses ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas sampel rangka manusia yang ditemui.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, menjelaskan bahawa hasil ujian DNA dijangka akan diperolehi sekurang-kurangnya dalam minggu ini.

Keputusan ujian DNA tersebut diharapkan dapat membuka tirai misteri kehilangan seorang wanita bernama Bella atau Mira Sharmila Samsusah, 32 tahun, yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember tahun lalu.

Bella, seorang ibu tunggal dengan dua anak, dikatakan keluar dari rumah dengan memakai baju kelawar berwarna gelap untuk ke dobi mencuci pakaian bersama teman lelakinya.

Namun, kakaknya, Norisham, 36, memaklumkan adiknya itu hilang selepas beberapa hari tidak dapat dihubungi dan pelik apabila telefon bimbit, dompet yang mengandungi pengenalan diri serta pakaian yang hendak dibasuh serta kunci pintu rumah ada di kediaman Bella.

Misteri kehilangan Bella menjadi tanda tanya selama 37 hari sebelum Polis Johor berjaya mengesan rangka manusia ditemui tidak sempurna dalam sebuah rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat pada pukul 2 petang Jumaat lalu.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>