Mirzan Mahathir

 

Kuala Lumpur, 19 Januari 2024, 16:00 – SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini telah mengeluarkan perintah notis kepada ahli perniagaan terkenal, Mirzan Mahathir, untuk mengisytiharkan asetnya dalam tempoh 30 hari. Langkah ini diambil sebagai sebahagian daripada siasatan mengenai maklumat yang berkaitan dengan Kertas Panama.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM berkata notis itu diserahkan Mirzan – yang merupakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad – semalam ketika dia hadir di ibu pejabat suruhanjaya antirasuah berkenaan di Putrajaya.

“SPRM mengesahkan telah memanggil ahli perniagaan, Mirzan bin Mahathir semalam ke Ibu Pejabatnya di Putrajaya untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.

“Mirzan hadir ke Ibu pejabat SPRM pada pukul 9.30 pagi semalam dan satu perintah notis telah disampaikan kepada beliau di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 yang mengkehendaki beliau mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut,” kata SPRM.

SPRM menjelaskan bahawa perintah tersebut merupakan tindakan lanjutan daripada siasatan mereka terhadap maklumat dalam laporan Kertas Panama, serta aktiviti perniagaan Mirzan yang melibatkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC).

Siasatan ini dilakukan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). SPRM menyatakan bahawa mereka telah memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkaitan dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora dan Kertas Panama.

“Sehingga kini, seramai 10 saksi telah dipanggil bagi tujuan dirakam pernyataan serta SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan tersebut dan siasatan masih giat dijalankan,” kata suruhanjaya itu.

Kertas Panama merujuk kepada kebocoran besar sebanyak 11.5 juta dokumen yang didedahkan pada tahun 2016. Ia mendedahkan bagaimana ahli politik, bintang sukan, dan penjenayah terkemuka menyembunyikan kekayaan mereka menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir.

Kertas Pandora dan Kertas Panama adalah dua pendedahan berasingan oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) dengan kerjasama rakan kongsi di seluruh dunia, termasuk Malaysiakini.

Dalam kebocoran tersebut, Mirzan telah disenaraikan sebagai pemilik firma British Virgin Islands – Sergio International Ltd – pada 2002, walaupun firma tersebut dianggap tidak aktif pada 2006 dan kemudiannya dihentikan.

Bagaimanapun, ketika dihubungi wakil Mirzan menafikan penglibatannya dalam Sergio International Ltd atau hubungan firma itu dengan Crescent Group of Companies.

Mirzan pada masa itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Crescent Capital, sebuah syarikat induk dan penasihat kewangan.

Pada 2013, dalam satu lagi siasatan bersama ICIJ, Malaysiakini melaporkan bahawa Mirzan adalah antara kira-kira 1,500 rakyat Malaysia yang mempunyai firma luar pesisir yang berahsia, didedahkan dalam dokumen yang dibocorkan kepada konsortium wartawan pada masa itu.

SPRM menegaskan bahawa siasatan mereka masih berlanjutan, dan langkah-langkah selanjutnya akan diambil berdasarkan temuan dan bukti yang diperolehi sepanjang siasatan ini.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>