Kuala Lumpur, 17 Januari 2024, 10.00 – PADA 1 Februari ini, tarif air baru akan dikenakan kepada kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.
Pelarasan ini dijangka akan melibatkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik tau mewakili 86.6 peratus dari jumlah pemegang akaun sebanyak 7.9 juta.
Kenaikan sebanyak 22 sen tersebut adalah purata jumlah kenaikan bagi setiap 1,000 liter air yang digunakan. Tarif baru ini dijangka akan mempengaruhi caj bil dalam julat antara RM1.60 hingga RM8 bagi setiap kediaman atau sebanyak lima hingga 27 sen sehari untuk penggunaan isi rumah sebanyak 20 meter padu sebulan.
Penggunaan air domestik, yang dikesan sebanyak 237 liter per kapita setiap hari, akan menjadi faktor utama dalam menentukan impak tarif baru ini.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui kenyataannya menyatakan bahawa pelarasan tarif air ini akan mengikut Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik.
Berdasarkan TSM, struktur dan komponen tarif akan diseragamkan untuk negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, dan tarif akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.
SPAN menekankan bahawa pelarasan tarif air bagi kategori domestik tidak boleh lagi ditangguhkan untuk memastikan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka masa panjang dan memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan air yang dinikmati oleh rakyat.
“Peningkatan ini, walaupun masih rendah, tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar pada tahun 2022,” kata SPAN.
Pelaksanaan pelarasan tarif air ini adalah berdasarkan keperluan dan permintaan Kerajaan Negeri, namun Kerajaan Persekutuan melalui SPAN akan memantau secara dekat untuk memastikan penambahbaikan perkhidmatan air dilaksanakan sejajar dengan kenaikan tarif yang berkenaan.
SPAN menyarankan agar operator bekalan air di setiap negeri untuk terus melaksanakan inisiatif bantuan kepada pengguna domestik, termasuk memberikan rebat kepada golongan B40, untuk meminimumkan impak kenaikan terhadap bil air bulanan rakyat.
Melalui semakan tarif ini, operator air diharapkan akan lebih bersedia untuk membuat pelaburan berterusan dalam pembangunan infrastruktur sistem bekalan air, seperti membina atau menaik taraf loji rawatan air, dan melakukan penggantian paip usang.
Selain itu, operator air dikehendaki melaksanakan penyenggaraan berkala dan menangani aduan dengan lebih cekap untuk memastikan kelangsungan perkhidmatan bekalan air dan memenuhi jangkaan pengguna.
SPAN mengingatkan semua pengguna untuk mengamalkan penggunaan air secara berhemat dengan langkah-langkah seperti menggunakan produk cekap air di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air oleh SPAN, memeriksa dan membaiki kebocoran paip, memasang sistem penuaian air hujan, dan menggunakan air kitar semula sebagai sumber air alternatif untuk kegunaan bukan minuman.
Sebagai pengawal selia industri air dan pembetungan di Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya, dan Labuan, SPAN berperanan dalam mengawal selia aspek ekonomi, teknikal, dan sosial dalam industri perkhidmatan air.
SPAN mengawal selia entiti dalam industri perkhidmatan air dan pembetungan, termasuk operator perkhidmatan bekalan air dan pembetungan, kontraktor bagi bekalan air dan pembetungan, serta pemegang permit yang menjalankan kerja-kerja berkaitan air dan pembetungan serta pembekal bagi produk dalam industri perkhidmatan air.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>