Sejak sekian lama industri jualan langsung dicemari dengan bermacam-macam aktiviti yang kurang beretika. Berapa banyak antara kita yang tiba-tiba dapat panggilan dari kawan-kawan lama yang kita pun dah lupa. Ingatkan jumpa untuk bertanya khabar, rupa-rupanya kita hanyalah prospek yang bakal masuk perangkap. Bila dah jumpa, mulalah tunjuk berapa banyak kereta mewah yang ada, kemudian cerita konon-kononnya dulu hidup susah sekarang dah ‘masyuk’ dapat ‘unlimited income’. Paling tak sopan ada pula yang berani tunjuk slip gaji berapa puluh ribu ringgit pendapatan bulanan. Sampaikan maksud asal MLM (Multi-Level Marketing) itu sudah disalah ertikan menjadi ‘Meniaga Larut Malam’. Tak boleh kita nafikan, ini adalah cara ‘time tested’ yang memang diguna pakai secara turun temurun di dalam dunia jualan langsung.

Generasi sekarang sudah ‘tak lut’ dengan helah yang murah. Kenapa kita yang berada di industri bernilai berbillion dollar, menjual dengan cara yang sangat tidak bermaruah? Sebenarnya, kitalah yang menjatuhkan martabat industri itu sendiri. Tak hairanlah bila masyarakat di luar sangat skeptikal dengan individu-individu yang membawa panji-panji industri jualan langsung. Bagi generasi muda, jangankan mendekati, hendak bekerja di industri ini pun kena fikir sepuluh kali.
Sebagai salah seorang GM (General Manager) Coway Malaysia, saya terpanggil untuk menguraikan kekusutan ini. Sudah sampai masanya, teman-teman yang seindustri dengan saya menjelaskan data dan fakta mengenai dunia jualan langsung secara jujur dan tuntas.

Pertama sekali, adalah lebih molek apabila kita mengambil pendekatan berdakwah kepada bakal pelanggan kita. Dunia jualan ini keras. Anggaplah ‘rejection’ atau penolakan sebagai benda biasa ibarat kita makan nasi setiap hari. Sebagai pendakwah, matlamat kita adalah menyampaikan dan menampakkan nilai yang bermanfaat kepada bakal pelanggan. Kalaupun jualan tak terus berlaku, percayalah ia adalah jualan yang tertangguh. Ini kerana, yang pertama, belum masanya lagi pelanggan nak beli dengan kita. Kedua, bakal pelanggan akan pulang dan menjadi ejen pemasaran yang tidak berbayar kepada ‘hot market’ mereka. Siapa tahu, mungkin rezeki kita ada di situ. Dan ketiga, setidak-tidaknya, bakal pelanggan pulang dengan persepsi yang lebih baik terhadap kita dan industri jualan langsung. Nampak tak? Bila niat kita betul dan ikhlas, tidak ada sebab untuk kita rasa ‘down’. Ingatlah, rezeki tak pernah salah alamat.
Kedua, Coway mula bertapak di Malaysia pada tahun 2006. Sejak itu, Coway Malaysia sudah membantu 3 juta rakyat Malaysia dengan jualan mencecah 1 billion ringgit setahun. Untuk rekod, Coway Malaysia telah berjaya melahirkan 600 orang jutawan sejak 18 tahun lalu. Maka tak hairanlah apabila Coway disenaraikan sebagai Graduan Malaysia’s Top 20 Most Preferred Employer untuk 2 tahun berturut-turut (2022 dan 2023). Ringkasnya, inilah fakta dan data yang sepatutnya menjadi ‘talking points’ kepada semua ejen Coway dalam usaha untuk membina dan melebarkan empayar bisnes masing-masing. Bukan sembang ‘wayang’ dan fatamorgana semata-mata.

Dan yang terakhir, saya ialah seorang yang sangat berpegang teguh kepada prinsip kepimpinan melalui tauladan. Kita buat apa yang kita cakap. Isnin lepas, adalah majlis pra-pelancaran EC Team Academy. EC Team Academy ataupun singkatannya ECTA, ditubuhkan sebagai sistem sokongan kepada semua ejen untuk tahu, pandai dan mahir serta berilmu, ketika membina kerjaya bersama Coway. Di ECTA, ejen-ejen akan ditarbiah secara komprehensif bagaimana membangunkan nilai, bagaimana cara membantu pelanggan, dan bagaimana seorang ejen boleh membina kerjaya melalui ‘career path’ yang sangat jelas. Pendek kata, semua ruang untuk gagal telah ditutup kemas. Saya percaya bahawa, apabila kita tak nak kepada sesuatu, tak ada sesiapa yang boleh paksa kita. Tetapi, apabila kita sanggup buat apa sahaja untuk dapatkan sesuatu, tak ada sesiapa yang boleh menghalang kita.
—
Encik Mohd Sabky Mat Latif adalah Pengurus Besar Coway Malaysia yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam Industri Coway Malaysia.
Aritikel ini adalah sumbangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian PrezCom.
#PrezCom