KLIFAA

 

Kuala Lumpur, 11 Januari 2024, 13:00 – PADA 7 hingga 11 Ogos tahun ini, lebih daripada 50 buah negara akan menyertai Anugerah Akademi Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIFAA) di Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

KLIFAA, yang diadakan untuk pertama kalinya, akan menjadi platform utama pengiktirafan filem antarabangsa yang mempromosikan kepelbagaian dan kecemerlangan dalam industri hiburan.

Pengerusi KLIFAA, Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, berkata bahawa Malaysia bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi acara anugerah filem berprestij ini.

“Visi dan matlamat penganjuran KLIFAA untuk edisi pertama ini adalah diharapkan dapat menjadi bukti kehebatan seni pembikinan filem terbaik dengan bahasa penceritaan sejagat.

“Selain akan menyerlahkan komitmen penganjuran festival dalam mempromosikan kepelbagaian, kecemerlangan artistik serta keterangkuman industri produksi filem dan televisyen global.

“Justeru, saya amat berharap pihak kerajaan menerusi kementerian berkaitan dapat memberi kerjasama dan menyokong usaha murni yang dilakukan ini untuk memartabatkan lagi bidang perfileman tanah air ke peringkat lebih tinggi,” katanya pada sidang media sempena penganjuran KLIFAA di Panggung 1, Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Beliau menambahkan bahawa KLIFAA bukan sekadar satu majlis anugerah, tetapi juga satu platform untuk pertukaran budaya yang lebih luas.

“Malah, antara program komprehensif yang dirancang pada festival ini ialah tayangan filem, termasuk perbincangan panel, kelas pakar, jaringan perniagaan dan majlis anugerah berprestij.

“Semua aktiviti diatur di KLIFAA nanti menjurus ke arah menyemarakkan semangat bercerita dan pembikinan filem. Termasuk, pentauliahan untuk acara monumental ini tersedia bagi pembuat filem, artis, penerbit, pengamal industri, wartawan, jurugambar, kru radio dan TV.

“Bahkan, paling utama sudah tentu buat pelajar filem serta peminat yang berminat untuk membabitkan diri dalam meraikan kecemerlangan sinematik ini yang bertemakan ‘Inspiring Brilliance, Igniting Passion’ (Kecemerlangan inspirasi menyemarakkan semangat),” katanya menyifatkan KLIFAA sebagai penyatu budaya, dalam mencetus inspirasi pemikiran kreatif pada skala global.

KLIFAA juga akan memberi tumpuan kepada meraikan bakat baharu, memupuk kreativiti, dan mengiktiraf pencapaian luar biasa dalam pelbagai kategori termasuk filem cereka, drama TV, dokumentari, filem pendek, dan animasi.

Sehingga kini, 21 negara telah menyatakan minat untuk menyertai KLIFAA, dengan sokongan positif dari kedutaan negara masing-masing.

Pembikin filem dan artis di seluruh dunia dijemput untuk menghantar karya mereka untuk penilaian, dengan tempoh penerimaan permohonan bermula dari 1 Mac hingga 31 Mei melalui laman web rasmi KLIFAA.

Untuk pertanyaan, penyertaan dan kemas kini, sila hubungi office@klifaa.com atau layari www.klifaa.com

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Aeon Bank Jadi Bank Digital Patuh Syariah Pertama Disahkan BNM Di Malaysia